Berita UtamaDunia

Tunisia tutup stesen televisyen dimiliki pembangkang

Nesma TV didakwa sering kritik Presiden Kais Saied

TUNIS, 21 Rabiulawal 1443H, Khamis – Pengawal selia media bebas Tunisia, HAICA memaklumkan, ia telah menutup stesen televisyen, Nesma TV yang dimiliki oleh pemimpin parti pembangkang, Heart of Tunisia, Nabil Karoui dan sebuah stesen radio agama, dengan mengatakan kedua-duanya beroperasi tanpa lesen, lapor Reuters.

Stesen-stesen itu telah mengkritik Presiden, Kais Saied yang merampas kuasa eksekutif pada bulan Julai lalu dalam satu tindakan yang disifatkan penentangnya sebagai rampasan kuasa.  

HAICA juga awal bulan ini menutup stesen televisyen Zitouna, yang juga pernah mengkritik Saied selain tidak berlesen.

Stesen televisyen Nesma dan stesen radio agama Quran Kareem telah beroperasi selama bertahun-tahun tanpa lesen, menimbulkan kemarahan pengawal media yang melihat mereka sebagai medium terlarang untuk pengaruh politik.

Sejak Saied merampas kuasa pada Julai, beberapa pengkritik melihat sebarang tindakan terhadap media yang menentangnya sebagai cubaan untuk menjejaskan kebebasan akhbar dan hak di Tunisia, yang telah menjadi demokrasi sejak revolusi 2011.

HAICA mendenda Nesma kerana siarannya yang didakwa mengeksploitasi orang miskin dan mempromosikan agenda politik pemilik saluran itu, Nabil Karoui yang juga bekas calon presiden dan penentang presiden.

Stesen al-Quran itu pula dimiliki oleh Said Jaziri, seorang Ahli Parlimen yang digantung oleh presiden pada Julai.

Pegawai di Nesma dan Quran Kareem bagaimanapun tidak bersedia untuk memberi sebarang komen. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button