Berita Utama

7 cawangan bank swasta Myanmar diletupkan

Tiada kumpulan dilaporkan bertanggungjawab terhadap serangan

BANGKOK, 22 Rabiulawal 1443H, Jumaat – Tujuh cawangan Bank KBZ milik swasta diletupkan oleh penyerang tidak dikenali di pusat bandar raya Mandalay, Myanmar, menurut media tempatan.

Letupan berlaku ketika meningkatnya kebimbangan bahawa bank swasta negara itu mula memindahkan maklumat pelanggan mereka kepada kerajaan tentera, lapor Sputnik memetik laporan akhbar Myanmar Now.

Junta didakwa telah menuntut pendedahan maklumat itu untuk mengesan pembiayaan aktiviti antikerajaan, lapor berita itu.

“Saya rasa KBZ menjadi sasaran kerana dipercayai berkongsi maklumat mengenai mereka yang disyaki menderma wang untuk menyokong revolusi, dan juga membekukan akaun yang digunakan untuk tujuan itu,” kata seorang penduduk tempatan yang tidak mahu dikenali dipetik Myanmar Now.

Beberapa akaun yang menggunakan sistem pembayaran dalam talian bank itu, KBZ Pay, untuk memindahkan wang kepada anggota pergerakan antikerajaan telah dibekukan, tambah akhbar itu.

Pihak berkuasa Myanmar masih belum mengeluarkan kenyataan mengenai letupan itu. Tiada kumpulan yang beroperasi di rantau itu dilaporkan bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Tentera mula berkuasa di Myanmar pada 1 Februari dengan mendakwa parti Liga Demokratik Kebangsaan yang memerintah ketika itu melakukan penipuan dalam pilihan raya umum November 2020. Rampasan kuasa tentera mencetuskan gelombang protes awam, menyebabkan ratusan orang awam terbunuh. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button