Berita UtamaDunia

Disney derma RM9.45 juta bantu Israel

Kutip derma amal dari kakitangan syarikat hingga RM118,000

WASHINGTON, 29 Rabiulawal 1445H, Ahad – Syarikat produksi antarabangsa, Walt Disney mendermakan RM9.45 juta kepada organisasi yang memberikan bantuan kemanusiaan bagi menyokong rakyat Israel, yang kononnya terjejas dalam pertempuran dengan pejuang Hamas sejak Sabtu lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Walt Disney, Bob Iger berkata, sebahagian daripada wang itu akan disalurkan kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang menumpukan pemberian bantuan kepada kanak-kanak.

“Ekoran serangan pengganas yang mengerikan dan menyasarkan orang Yahudi di Israel pada hujung minggu lalu, kita semua mesti melakukan apa termampu untuk menyokong mereka yang tidak bersalah dan terkesan keganasan, terutama kanak-kanak.

“Kami mengutuk serangan ini, kebencian yang mendorong mereka dan tindakan keganasan, selain berusaha mencari lebih banyak cara untuk memberikan sokongan di rantau ini dan menghormati mangsa, keluarga mereka dan semua yang terjejas perang ini,” katanya.

Menurutnya, Disney memberikan RM4.7 juta kepada Magen David Adom, iaitu sebahagian daripada Pergerakan Bulan Sabit Merah dan menyediakan perkhidmatan perubatan kecemasan serta bank darah di Israel.

Katanya, sebanyak RM4.7 juta lagi disalurkan kepada NGO lain di rantau itu dengan menyasarkan bantuan khusus kepada kanak-kanak Israel.

Menerusi pengumuman itu, Disney turut menggerakkan derma amal daripada kakitangan syarikat sehingga lebih RM118,000, termasuk mengajak pihak lain untuk meningkatkan usaha bantuan kepada rejim Israel.

Sehingga kini, keadaan di Semenanjung Gaza semakin merosot akibat serangan ganas tanpa henti Israel di wilayah itu, termasuk penutupan sempadan, sekatan bantuan kemanusiaan, bekalan air dan elektrik.

Bahkan, rejim Zionis juga terus menyasarkan orang awam, di mana korban kanak-kanak dan wanita semakin meningkat.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button