Berita Utama

Dilihat sering cetus kontroversi, Hua Zong wajar diharamkan!

Hua Zong didakwa bersikap rasis, pentingkan diri sendiri

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 22 Rabiulawal 1443H, Jumaat – Permintaan Hua Zong supaya kerajaan mengadakan perbincangan yang mendalam mengenai kedudukan sekolah vernakular di bawah Perlembagaan Persekutuan serta meminda atau memperkuatkan peruntukan yang relevan jika perlu bukan perkara mengejutkan.

Ini kerana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan kaum Cina itu acap kali mencetuskan kontroversi, lebih-lebih lagi dalam isu melibatkan sekolah vernakular.

Namun gesaan kali ini – yang dilihat sebagai kemuncak – menimbulkan persoalan sama ada Hua Zong wajar diharamkan.

Ahli Jawatankuasa Biro Pendidikan Jaringan NGO SEDAR (SEDAR), Kamal Shukri Abdullah Sani berkata, Hua Zong serta Dong Zong sudah banyak kali mencabar perkara berkaitan sekolah vernakular sejak dahulu lagi.

Justeru, beliau berkata, sudah tiba masa Pendaftar Pertubuhan memikirkan sama ada wajar mereka ini dibiarkan untuk terus mengancam serta mencabar Perlembagaan dan sebagainya.

“Kita melihat mereka ini sebagai kumpulan mementingkan diri sendiri dan bersikap cauvinis dan mereka sebenarnya rasis.

“Sekarang ada konsep Keluarga Malaysia sepatutnya mereka bersama konsep ini. Satu bahasa pengantar dan bukan dengan berbeza-beza bahasa,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Beliau menjelaskan meskipun mengutamakan bahasa kebangsaan, tidak bermakna bahasa Mandarin tidak boleh dipelajari.

“Cuma dalam negara ini, bahasa rasmi, bahasa penyatuan dan perpaduan serta bahasa pengantar pendidikan sepatutnya bahasa Melayu.

“Bahkan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua yang utama selain bahasa lain galak dipelajari,” katanya.

Selain itu, Kamal menegaskan walaupun cuba dinafikan, hakikatnya pelajar lulusan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) serta sekolah jenis kebangsaan kebanyakkan tidak fasih bahasa Melayu.

Sebelum ini, Hua Zong meminta kerajaan mempertimbangkan keperluan untuk meminda peruntukan Perlembagaan bagi memperjelaskan dan menegaskan kedudukan sekolah vernakular, penggunaan serta pengembangan bahasa pengantar utamanya di bawah Perlembagaan Persekutuan bagi melindunginya daripada terus diputar belit dan dicabar

Bukan itu sahaja, Presiden Hua Zong, Tan Sri Goh Tian Chuan turut meminta kerajaan memantau secara aktif perkembangan mana-mana gerakan yang tidak mesra kepada pendidikan Cina, terutama yang mencabar kedudukan sekolah vernakular di bawah Perlembagaan di mahkamah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button