Berita UtamaDunia

Facebook tukar nama kepada Meta

Nama baharu cerminkan usaha melabur dalam metaverse

CALIFORNIA, 22 Rabiulawal 1443H, Jumaat – Facebook kini dikenali sebagai Meta, kata syarikat itu pada Khamis.

Syarikat itu berkata, penjenamaan semula itu menfokuskan kepada membina ‘metaverse’, iaitu persekitaran maya perkongsian yang akan menjadi pengganti kepada internet mudah alih.

Pertukaran nama itu berlaku tatkala syarikat media sosial terbesar dunia itu menentang kritikan daripada penggubal undang-undang dan pengawal selia berhubung kuasa pasarannya, keputusan algoritma dan pengawalan penyalahgunaan perkhidmatannya.

Ketua Pegawai Eksekutif, Mark Zuckerberg berkata, nama baharu itu mencerminkan usaha melabur dalam metaverse berbanding perkhidmatan media sosial yang terus digelar Facebook.

Metaverse adalah istilah yang dicipta dalam novel dystopian ‘Snow Crash’ tiga dekad yang lalu dan kini menarik perhatian ramai di Silicon Valley.

Ia merujuk secara meluas kepada idea alam maya yang dikongsi dan boleh diakses oleh orang ramai yang menggunakan peranti berbeza.

Zuckerberg berkata, pada masa ini, jenama Facebook sangat berkait rapat dengan satu produk sehingga tidak boleh mewakili semua yang dilakukan hari ini apatah lagi pada masa depan.

Syarikat itu berkata, perubahan itu akan menghimpunkan aplikasi dan teknologi yang berbeza di bawah satu jenama baharu.

Jelasnya, ia tidak akan mengubah struktur korporatnya.

Gergasi teknologi yang mempunyai kira-kira 2.9 bilion pengguna bulanan, telah menghadapi peningkatan penelitian dalam beberapa tahun kebelakangan ini daripada penggubal undang-undang dan pengawal selia global.

Dalam kontroversi terbaharu, pemberi maklumat dan bekas pekerja Facebook, Frances Haugen menunjukkan dokumen yang mana menurutnya syarikat itu memilih keuntungan berbanding keselamatan pengguna.

Zuckerberg awal minggu ini berkata, dokumen itu digunakan untuk melukis ‘gambaran palsu’.

Saham Facebook ditutup 1.5 peratus lebih tinggi pada AS$316.92 pada Khamis. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button