Berita Utama

Institusi pendidikan capai 90 peratus vaksinasi dibenar operasi tanpa penggiliran

Keputusan ambil kira kadar vaksinasi dalam kalangan murid kelas peperiksaan

BANGI, 22 Rabiulawal 1443H, Jumaat – Institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan (KPM) yang telah mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus atau lebih bagi pelajar kelas peperiksaan awam dan antarabangsa dibenarkan beroperasi tanpa penggiliran bermula 8 November ini.

Keputusan itu dibuat hasil perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan mengambil kira kadar vaksinasi dalam kalangan murid kelas peperiksaan.

KPM berkata, pengoperasian institusi pendidikan bawah kementerian itu bagi murid kelas peperiksaan awam dan antarabangsa hadir tanpa penggiliran bagi negeri Kumpulan A dan B akan bermula pada 8 November ini.

Empat negeri dalam Sekolah Kumpulan A adalah Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu sementara Kumpulan B melibatkan Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

“Pengoperasian bagi negeri Kumpulan A juga bermula pada 8 November 2021 kerana 7 November 2021 adalah cuti tambahan sempena Deepavali yang diperuntukkan dalam Takwim Penggal dan Cuti Persekolahan Tahun 2021 bagi sekolah bawah KPM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ia membabitkan kehadiran pelajar kelas peperiksaan awam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) termasuk kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level, A-Level, Australia Higher School Certificate dan IBD) dan murid kelas peperiksaan antarabangsa lain.

“Bagi institusi pendidikan bawah KPM yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus atau lebih bagi murid kelas peperiksaan awam dan antarabangsa, pengoperasian kekal secara penggiliran.

“Bagaimanapun, murid Prauniversiti Semester 3 di Sekolah Sukan Malaysia, murid kelas peperiksaan awam di sekolah berasrama sepenuhnya dan murid kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE OLevel, A-Level, Australia Higher School Certificate dan IBD) kekal hadir tanpa penggiliran,” katanya.

Katanya lagi, KPM akan terus memantau dan mengemas kini senarai institusi pendidikan yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus bagi murid kelas peperiksaan awam dan antarabangsa.

“KPM akan mengeluarkan senarai terkini institusi pendidikan bawah KPM yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus pada setiap Rabu.

“Justeru, mana-mana institusi pendidikan yang mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus atau lebih akan dikeluarkan daripada senarai ini dan institusi boleh mula beroperasi tanpa penggiliran pada hari Ahad atau Isnin minggu berikutnya,” katanya.

Institusi pendidikan bawah KPM dalam kenyataan media ini turut merujuk kepada institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM bagi kategori sekolah dan kategori pusat, katanya.

“KPM menyarankan supaya ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk institusi pendidikan bawah kerajaan negeri,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button