Berita Utama

Bon Odori: Jangan jadi ‘pak turut’ budaya bertentangan akidah Islam

BERJASA gesa umat Islam akur saranan menteri agama

BANGI, 8 Zulkaedah 1443H, Rabu – Umat Islam harus mengikuti saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad supaya tidak menyertai Festival Tahunan Bon Odori, yang akan diadakan di beberapa tempat di negara ini.

Ketua Wanita BERJASA, Ustazah Siti Umi Kalsom Hussin berkata, saranan menteri agama  adalah berdasarkan kajian daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang bertindak sebagai sebuah badan berautoriti di Malaysia. 

“Jadi, umat Islam sepatutnya akur dan bertindak rasional kerana kajian ilmiah telah dibuat oleh pihak Jakim,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Ustazah Siti Umi Kalsom menjelaskan, Bon Odori adalah satu festival atau tarian (Odori) yang disambut sekitar 13-16 Julai oleh masyarakat Jepun. 

Ianya bertujuan memperingati roh datuk nenek moyang mereka yang telah meninggal dunia. 

“Acara menerima dan menghantar roh semula ini yang dipercayai akan memberi keamanan kepada roh yang telah mati adalah bertentangan dengan ajaran Islam.

“Di dalam Islam, akidah kita mengajar adab tertentu dalam perkara ini. Doa anak atau keturunan yang soleh yang akan sampai kepada ahli keluarga terutamanya ibu bapa yang telah meninggal dunia. 

“Bukan dengan cara tarian atau upacara pemujaan,” tegasnya.

Malah, Rasullullah ﷺ mengajar umat Islam untuk sentiasa ‘tamayyuz’, ada ciri tersendiri serta tidak menjadi ‘pak turut’ kepada adat dan budaya luar terutamanya apabila yang bertentangan dengan akidah Islam.

“Justeru, umat Islam dinasihatkan supaya mengambil perhatian terhadap isu ini dan menghormati nasihat dan saranan pihak yang berwajib,” katanya.

Semalam, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata pihaknya akan berhubung dengan pihak berkuasa agama negeri, Kedutaan Jepun dan pengkaji bidang berkaitan bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai penganjuran festival itu.

Beliau berkata, sebelum ini pihaknya tidak menerima sebarang nasihat atau pandangan berkaitan penganjuran festival itu sebaliknya menganggap ia sebagai acara kebudayaan.

Bagaimanapun, Festival Bon Odori itu tetap akan diteruskan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam (Panasonic) pada 16 Julai ini, untuk memberi ruang kepada penganut agama lain menyambutnya seperti mana-mana perayaan yang disambut dalam negeri itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button