Berita Utama

Mahkamah Tinggi tolak rayuan model lawan arus sebabkan kematian

Kekal hukuman penjara 5 tahun dan denda RM18,000

BUTTERWORTH, 22 Rabiulawal 1443H, Jumaat – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak rayuan model sambilan, Ng Pei Ven, 23, yang dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM18,000 oleh Mahkamah Majistret Bukit Mertajam selepas dia didapati bersalah memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang juruteknik pada Mac 2017.

Hakim Datuk Amirudin Abd Rahman mengekalkan keputusan Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini pada Jun tahun lalu, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan setiap inti pati pertuduhan bahawa tertuduh memandu kereta Proton Gen 2 secara melulu sehingga menyebabkan kematian Mohamad Fandi Rosli, 26.

Selain mengekalkan hukuman penjara dan denda, mahkamah turut mengekalkan keputusan membatalkan lesen memandu Ng.

Amirudin dalam penghakimannya berkata kesalahan yang dilakukan Ng adalah sangat serius kerana memandu melawan arus dan membahayakan pengguna jalan raya lain.

“Mahkamah turut memikirkan kepentingan awam dan hukuman yang dikenakan adalah berbentuk literal iaitu dapat mencegah tertuduh dan orang awam lain, selain memberi pengajaran terhadapnya,” kata hakim.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ainy Suhailah Yunus, manakala tertuduh diwakili peguam Cheah Eng Soon.

Pada Jun tahun lalu, Mahkamah Majistret Bukit Mertajam membenarkan permohonannya untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sementara rayuan didengar di Mahkamah Tinggi dan menaikkan jaminan kepada RM12,000 daripada RM7,000

Pada 24 Mac 2017, Ng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian Mohamad Fandi di Lebuh Raya Utara-Selatan, arah utara kira-kira pukul 7.50 pagi, 14 Mac 2017.

Ng didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000.

Dalam kejadian itu, Mohamad Fandi maut selepas kereta Perodua Kelisa yang dipandunya bertembung dengan kereta yang dipandu Ng secara melawan arus di Kilometer 134, dekat Permatang Pauh. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button