Berita Utama

Bajet 2022 jangan sekadar cantik di atas kertas saja: BERJASA

Bimbang dimonopoli oleh pihak yang baik dengan ahli politik

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 23 Rabiulawal 1443H, Sabtu – Bajet 2022 yang dibentangkan kerajaan diharapkan bukan sekadar cantik di atas kertas semata-mata tetapi perlu memastikan pelaksanaan yang sempurna.

Dalam hal ini, sistem pengagihan adalah aspek paling penting supaya segala perancangan seperti yang diideakan dapat direalisasikan dengan berjaya dan mencapai sasaran.

Selain itu, Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Haji Zamani Ibrahim mengingatkan, kepentingan aspek pemantauan agihan bagi mengelak daripada berlakunya ketirisan.

“Kita tidak mahu bajet semalam sekadar cantik di peringkat idea sahaja sedangkan pelaksanaannya nanti tidak selancar dan sempurna seperti yang diharapkan.

“Perlu ada pemantauan dan kawalan bagi menjayakan setiap yang dicadangkan kerana kita juga tidak mahu idea bernas tadi hanya dimonopoli oleh golongan tertentu sahaja terutama mereka yang rapat dengan ahli politik sahaja menyebabkan tidak sampai kepada sasaran,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pembentangan Bajet 2022 semalam melibatkan peruntukkan RM332.1 bilion dalam usaha Malaysia memulihkan semula setiap segmen sosioekonomi pada tahun depan.

Belanjawan tersebut merangkumi RM233.5 bilion bagi perbelanjaan mengurus, RM75.6 untuk perbelanjaan pembangunan dan RM23 bilion dibawah Kumpulan Wang COVID-19.

Dalam masa sama, Haji Zamani memuji Bajet 2022 yang dilihat mengambil kira roh dan kesan daripada pandemik COVID-19.

Sehubungan itu, beliau berharap tidak wujud karenah birokrasi yang boleh membantutkan perjalanan bajet dirancang.

“Kita mahu di peringkat pelaksana bersungguh jayakan seperti yang dibincangkan supaya tidak tersasar kepada pihak lain,” ujarnya.

Ditanya mengenai peruntukan kepada golongan usahawan dalam usaha kerajaan memacu semula ekonomi yang kini bergerak lemah kesan daripada COVID-19, beliau berpandangan bantuan dari semasa ke semasa perlu diperluaskan.

“BERJASA merasakan kerajaan perlu serius membantu golongan usahawan untuk kembali bangkit kerana kini bukan sahaja sakit lagi tetapi ada yang terus lumpuh berikutan terkesan dengan COVID-19.

“Kita melihat menjadi keperluan dan keutamaan kepada kerajaan untuk wujudkan program khas kepada golongan terkesan supaya mereka mampu bangkit dengan sokongan dan bantuan daripada kerajaaan sendiri,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button