Berita Utama

Bajet 2022: Pacu masa depan pendidikan negara lebih hebat

Insentif tambahan melegakan banyak pihak, hargai beban guru

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 23 Rabiulawal 1443H, Sabtu – Peruntukan sebanyak RM52.6 bilion dicadangkan kerajaan dalam Bajet 2022 bagi pendidikan diyakini mampu memacu masa depan bidang tersebut dengan lebih hebat.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, Bajet 2022 menyaksikan sektor pendidikan diperuntukkan tambahan RM2.2 bilion berbanding RM50.4 bilion bagi tahun 2021.

Katanya, ia dilihat dapat membina ekosistem pendidikan yang lebih kondusif, efektif dan selamat.

“Bajet lebih besar untuk bidang pendidikan. Ini bukan sahaja dapat melegakan ibu bapa dan guru, malah diyakini mampu membantu kita membina ekosistem pendidikan yang kondusif, efektif dan selamat.

“Ia selaras dengan hasrat untuk memacu pendidikan negara dengan lebih hebat pada masa depan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, beliau turut beranggapan Bajet 2022 bersifat prihatin dan mengutamakan pendidikan kelompok terjejas akibat pandemik COVID-19 khususnya mereka dalam kalangan keluarga B40.

Malah, tegasnya, bantuan awal persekolahan kepada RM150 daripada RM100, rancangan makanan tambahan serta pemberian tablet melalui inisiatif peranti siswa siswi untuk keluarga B40 merupakan tindakan wajar dan bersasar.

“Bajet ini juga diharap dapat merapatkan jurang pendidikan antara sekolah bandar dan luar bandar serta sekolah di pendalaman, khususnya di Sabah dan Sarawak melalui penyelenggaran serta naik taraf sekolah daif.

“Kami merakamkan penghargaan dan setinggi terima kasih kepada kerajaan kerana Sekolah Agama Rakyat (SAR), institusi pondok dan tahfiz turut tidak terkecuali dalam bajet disediakan. Mereka mendapat peruntukan besar RM140,000, bagi tujuan naik taraf bangunan dan penyelenggaraan,” katanya.

Dalam masa sama, Ustaz Mohd Azizee yakin peruntukan berkenaan akan membawa kecemerlangan kepada institusi pendidikan agama dalam memastikan mereka tidak ketinggalan dalam arus pendidikan perdana.

Selain itu, katanya lagi, inisiatif sekali bayar sebanyak RM100 untuk pembelian alat bantu mengajar kepada warga guru juga akan dapat membantu meningkatkan kecekapan pengajaran dan kemahiran digital pendidik.

“Pelanjutkan pelepasan cukai RM2,500 untuk pembelian komputer, telefon bimbit dan tablet sehingga Disember 2022 juga menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap tugas guru dalam usaha memperkasa kaedah pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

Dalam pada itu, pihaknya juga menyambut baik langkah kerajaan untuk pemerkasaan Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang bertepatan dalam usaha melahirkan tenaga mahir berkualiti, sekali gus mampu menyumbang kepada pembangunan negara untuk mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0.

“Secara umum, belanjawan ini dapat memberi manfaat untuk membantu kelompok yang terjejas serta meningkatkan kualiti pengajaran guru selain merapatkan jurang pendidikan dan digital antara sekolah bandar dan luar bandar.

“Kami yakin belanjawan ini juga dapat memulihkan kualiti pendidikan negara yang terkesan akibat COVID-19,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button