Berita Utama

Bajet 2022 tidak pinggirkan belia

'Terdapat 25 insentif kepada anak muda melalui bajet ini': PM

KUALA LUMPUR, 23 Rabiulawal 1443H, Sabtu – Bajet 2022 bertemakan “Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera” yang dibentangkan di Dewan Rakyat, semalam tidak meminggirkan golongan belia dalam negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata Bajet 2022 adalah inklusif dan mencakupi kesemua lapisan masyarakat melibatkan semua golongan seperti masyarakat yang menetap di bandar atau luar bandar, di samping membabitkan semua kaum serta agama.

Katanya kerajaan tidak pernah meminggirkan belia meskipun mengakui terdapat beberapa komen yang agak negatif menerusi laman sosial daripada golongan itu kerana kononnya kerajaan meminggirkan kumpulan itu dalam Bajet 2022.

“Kerajaan tidak pernah dan tidak akan mengenepikan golongan belia dalam apa sahaja yang diumumkan untuk Malaysia, negara kita. Pastinya golongan belia diberikan keutamaan, sebab itu saya katakan tadi bahawa masa depan negara ini bergantung kepada golongan belia hari ini.

“Tak mungkin kita akan pinggirkan dan mengenepikan golongan belia, dalam bajet yang diumumkan semalam terdapat 25 insentif kepada anak muda melalui bajet ini sama ada secara langsung atau tidak langsung,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Belia Negara 2021 Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Ismail Sabri menjelaskan bajet untuk belia tidak diletakkan di bawah satu topik khusus untuk golongan itu tetapi boleh dijumpai dalam topik antaranya melibatkan orang kurang upaya (OKU), warga emas dan wanita. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button