Berita Utama

Fenomena air pasang besar dijangka landa pantai Kuala Langat

MPKL akan pantau dan penguatkuasaan di kawasan terlibat

SHAH ALAM,23 Rabiulawal 1443H, Sabtu – Fenomena air pasang besar dijangka melanda Pantai Kelanang, Pantai Baru Morib, Pantai Morib, Taman Harmoni Morib, Istana Bahagia Morib, Pantai Batu Laut, Pantai Chunang dan Jeti Tg Sepat di daerah Kuala Langat, pada 3 hingga 7 Nov.

Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) berkata selain air pasang, peralihan monsun timur laut yang bermula pada awal November ini turut akan berlaku.

Yang Dipertua MPKL Datuk Amirul Azizan Abd Rahim berkata MPKL akan menutup kawasan peranginan pantai dan kemudahan awam seperti medan selera dan kios di kawasan terlibat.

“Dalam masa yang sama juga, MPKL akan menggerakkan petugas bagi membuat pemantauan dan penguatkuasaan di kawasan yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu beliau turut menasihatkan, sekiranya berlaku hujan lebat dan angin kencang secara serentak bersama air pasang besar, risiko berlakunya kejadian banjir akan menjadi lebih buruk.

“Orang awam yang tinggal di pesisir pantai disaran agar menyimpan semua dokumen penting di tempat yang selamat serta mudah diambil sekiranya berlaku kejadian banjir,” katanya.

Amirul Azizan juga mengingatkan orang ramai khususnya penduduk di daerah ini agar tidak mendekati atau memasuki serta tidak menjalankan sebarang aktiviti air, riadah dan rekreasi pada tarikh yang ditetapkan memandangkan kesemua kawasan peranginan pantai yang terlibat akan ditutup sepenuhnya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button