Berita Utama

PRN Melaka: Undi pemimpin yang mampu beri manfaat

Pecah undi Melayu tidak bagus untuk masa depan

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 23 Rabiulawal 1443H, Sabtu – Hanya tinggal beberapa hari lagi sebelum penamaan calon, namun masih tiada persefahaman yang kukuh untuk UMNO bersama Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Justeru, tidak mustahil pertembungan sengit antara parti Melayu akan berlaku, sekali gus memberi peluang kepada Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Melaka.

Dari satu sudut, penganalisis politik, Dr Syed Agil Syed Alsagoff tidak menafikan pertembungan parti Melayu akan membuka ruang kepada perpecahan undi di kalangan orang Melayu.

Baginya, keadaan itu tidak bagus dalam hala tuju serta masa depan orang Melayu.

Sekiranya situasi itu tidak dapat dielakkan, beliau menyarankan rakyat melihat kepada ciri-ciri pemimpin yang mampu memberi manfaat di sesuatu kawasan.

“Saya berpandangan, pertama kita lihat sama ada parti itu memberi manfaat kepada masyarakat sesuatu kawasan serta keseluruhan.

“Kedua, personaliti tokoh politik itu sendiri iaitu individu yang bertanding boleh dipercayai, amanah dan ikhlas membantu, tidak menimbulkan masalah dan kekeliruan kepada masyarakat serta boleh menyatupadukan masyarakat,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Beliau menyifatkan penilaian sebegini lebih optimis dan rasional, berbanding memilih pemimpin daripada satu parti namun tidak mengenali wakil rakyat berkenaan.

“Bagi saya sampai masanya rakyat Melaka bersikap matang bukan sahaja memilih parti tetapi juga pemimpin yang memperjuangkan nasib mereka.

“Tidak guna bazir masa hanya memilih parti. Ini bukan macam dulu, kita pilih parti sebagai tonggak tapi kadang-kadang kita dapati ada pemimpin parti yang tidak berkaliber, gagal jadi wakil rakyat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button