Berita Utama

Bukan sekadar hayun buaian, tangan wanita mampu goncang dunia

Ketokohan wanita di nusantara bukan dongeng sebaliknya hakikat

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 24 Rabiulawal 1443H, Ahad – Peranan wanita bukan sekadar tangan menghayunkan buaian bahkan mampu mengoncang dunia.

Kehadiran ramai tokoh wanita muslimah yang terkehadapan dan berjaya memimpin dengan hebat menunjukkan bahawa Islam tidak menghalang kepimpinan wanita.

Malahan itu membuktikan bahawa peranan wanita muslimah nusantara signifikan dalam pembangunan peradaban ummah.

Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Dr Suriani Sudi berkata, setiap wanita ada peranan besar untuk membina peradaban bahkan sejarah telah membuktikan wanita memiliki kekuatan, kehebatan tersendiri serta kegemilangan yang boleh diberikan kepada ummah.

“Ketokohan wanita di nusantara bukanlah dongeng mahupun ceritera malah hakikat yang lazim diwarisi kesinambungannya.

“Peranan wanita bukan sekadar tangan menghayun buaian tetapi tangan mampu mengoncang dunia.

“Kerana itu, Wanita ISMA melalui slogan ‘Perjuangan Bermula Dari Rumah’ menekankan kepada wanita di Malaysia khususnya untuk berperanan sebagai wanita muslimah, menggunakan hak yang telah diberikan oleh Allah dengan menjaga adab, akhlak dan batas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel webinar Wanita Nusantara anjuran Wanita ISMA, hari ini.

Webinar berkenaan turut menampilkan panel dari Brunei, Pg Hajah Zabaidah Ph Kamaludin, Kurnia Irawati Istadi (Indonesia) serta Dr Bibi Jan Mohd Ayyub (Singapura).

Objektif webinar Wanita Nusantara untuk mengangkat ketokohan wanita dari Malaysia, Brunei, Indonesia serta Singapura yang mana wanita di setiap negara memainkan peranan yang sangat banyak dalam membina peradaban di negara masing-masing.

Dr Suriani turut menegaskan bahawa sumbangan belakang tabir seorang wanita bukanlah sesuatu perkara kecil dan leceh malah membawa kepada pembinaan sebuah negara.

Ia seperti yang dilakukan tokoh wanita seperti Tun Kudu, Ruqaiyah Hanim serta Ibu Zain yang turut melahirkan anak yang hebat.

“Justeru, Wanita ISMA komited dalam perjuangannya supaya wanita digalakkan sentiasa berkhidmat di luar tetapi pada masa sama perlu ingat slogan perjuangan wanita bermula di rumah.

“Walau sesibuk mana pun kita di luar rumah, bekerja, menjalankan dakwah atau pun menyeru ke arah kebaikan tetapi tugas asasi sebagai seorang wanita, isteri dan ibu di rumah adalah satu tanggungjawab yang tidak boleh dilepaskan kerana rumah merupakan asas kepada bangsa, ummah dan seterusnya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button