Berita Utama

Ahmad Fadhli dipilih Ketua Pemuda PAS yang baharu

Gantikan Khairil Nizam Khiruddin yang tidak mempertahan jawatan itu

PORT DICKSON, 24 Rabiulawal 1443H, Ahad – Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari dipilih sebagai Ketua Pemuda PAS yang baharu bagi penggal 2021-2023.

Beliau menggantikan Khairil Nizam Khiruddin yang tidak mempertahan jawatan itu.

Pemilihan yang diadakan sewaktu Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) kali ke-62 di sebuah hotel di sini menyaksikan Ahmad Fadhli menang selepas memperoleh 508 undi menewaskan Ahli Dewan Undangan Negeri Kubu Gajah (Perak) Khalil Yahya yang mendapat 128 undi.

Jawatan Timbalan Ketua Pemuda PAS pula dimenangi Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah Afnan Hamimi Taib Azamuddin dan Naib Ketua Pemuda pula disandang bekas Ketua Pemuda PAS Selangor Hanafi Zulkafli.

Seramai 636 perwakilan melaksanakan pengundian bagi memilih barisan kepimpinan baharu DPPM yang melibatkan Ketua Pemuda, Timbalan Ketua Pemuda dan Naib Ketua Pemuda serta 12 Ahli Jawatankuasa.

Ahmad Fadhli, yang sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Pemuda PAS, menzahirkan penghargaan kepada perwakilan seluruh negara yang memberi kepercayaan kepada barisan kepimpinan baharu DPPM bagi menerajui sayap itu terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Ke-15 (PRU15) akan datang.

“Ini membuktikan bahawa pemilihan parti ini boleh dilaksanakan walaupun dalam situasi berdepan pilihan raya (negeri Melaka) sekali gus menunjukkan bahawa PAS merupakan parti yang matang.

“Kita juga tidak terpengaruh dengan apa jua kepentingan. Pemilihan (sering) dijadikan kesempatan pihak melobi sebagai calon tetapi ia tidak berlaku dalam Pemuda PAS,” katanya kepada pemberita selepas muktamar dua hari yang bermula semalam.

Beliau juga berkata pihaknya berazam untuk terus memperkasa Muafakat Nasional serta mempertahan Perikatan Nasional sehingga ke akar umbi sekali gus memperlihatkan kepada rakyat bahawa kedua-dua gabungan merupakan pilihan terbaik pada PRU15 khususnya kepada pengundi baharu.

Ditanya mengenai calon pada PRU15, Ahmad Fadhli berkata Pemuda PAS seboleh-bolehnya mahu 50 peratus individu yang dibariskan terdiri daripada golongan muda termasuk wanita. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button