Berita Utama

Bajet 2022: MCA berterima kasih peruntukan vernakular terus meningkat

RM120 juta diperuntuk berbanding RM104 juta pada Bajet 2021

BANGI, 24 Rabiulawal 1443H, Ahad – The Star melaporkan peruntukan bajet untuk penyelenggaraan dan penambahbaikan bagi sekolah vernakular meningkat berbanding tahun lalu.

Media itu melaporkan, dalam Bajet 2021, semua sekolah vernakular Cina dan Tamil diperuntukkan kira-kira RM104 juta untuk penyelenggaraan dan naik taraf.

The Star yang memetik Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sebagai berkata, peruntukan bajet untuk semua jenis sekolah telah meningkat dalam Bajet 2022.

Katanya, bajet negara terkini menyaksikan lebih banyak dana disalurkan kepada pelbagai jenis sekolah di Malaysia.

“Terima kasih kepada Tengku Zafrul (Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) yang menambah amaun untuk semua sekolah,” katanya.

Menteri Pengangkutan itu berkata, Kementerian Kewangan juga telah memberikan lebih banyak dana kepada sekolah vernakular Cina dan Tamil.

“Ini adalah petanda baik bahawa kerajaan memberi penekanan kepada semua sekolah,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan, Kementerian Pendidikan (KPM) terus menerima peruntukan terbesar berjumlah RM52.6 bilion atau 16 peratus daripada keseluruhan anggaran perbelanjaan Persekutuan atau Bajet 2022.

Tengku Zafrul berkata, sejumlah RM1 bilion pula disediakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan sekolah termasuk RM140 juta kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi menyelenggara antaranya sekolah tahfiz, sekolah agama rakyat dan institusi pondok berdaftar iaitu meningkat berbanding RM100 juta yang diperuntukkan pada tahun ini.

“Peruntukan penyelenggaraan kepada lebih 10,000 sekolah di bawah KPM akan diagihkan mengikut jenis sekolah berdasarkan kadar yang seragam,” katanya.

Katanya, RM120 juta disediakan untuk manfaat 1,800 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan juga Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil bagi tahun 2022.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button