Berita Utama

Bimbang berlaku mudarat, punca UMNO, PAS, Bersatu bermesyuarat

Penyakit ego punca rundingan ditangguh sejak sekian lama

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 24 Rabiulawal 1443H, Ahad – Keputusan tiga parti Melayu terbesar di negara ini mengadakan mesyuarat sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu dipandang dari sudut positif.

Ia memberi gambaran jelas bahawa kemudaratan boleh berlaku sekiranya UMNO, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) gagal menjalinkan kerjasama utuh.

Penganalisis politik, Azmi Hassan mengakui, mesyuarat itu sepatutnya sudah lama diadakan namun terhalang oleh rasa ego dalam kalangan parti-parti berkenaan.

“Hakikatnya mereka tahu sekiranya tiada penyatuan yang kukuh bakal membawa kemudaratan sehingga menjejaskan kedudukan orang Melayu sendiri.

“Sebab itu mereka lakukan pertemuan secara belakang tabir demi tidak mahu jatuhkan air muka masing-masing,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan terdapat perkembangan positif mengenai kerjasama antara UMNO, PAS dan Bersatu dalam menghadapi PRN Melaka.

Beliau berkata, perkara itu adalah hasil mesyuarat yang diadakan bersama tiga buah parti itu kelmarin.

“Ada sedikit berita gembira malam tadi, kita adakan mesyuarat bersama tiga parti, PAS, UMNO dan Bersatu. Insya-Allah bicara soal persiapan dalam PRN Melaka, nampaknya sekarang PAS dikehendaki semua parti,” katanya.

Mengulas lanjut, Azmi melihat tindakan untuk duduk semeja adalah amalan politik matang yang menyaksikan mereka sanggup ketepikan kepentingan peribadi demi agenda lebih besar.

Katanya, parti-parti Melayu boleh diibaratkan sebagai adik-beradik, di mana mereka tidak boleh lari daripada saling memerlukan dalam mencapai sesuatu matlamat.

Katanya lagi, kini pastinya rakyat tertunggu-tunggu berkenaan pengagihan kerusi yang perlu dilakukan secara adil dan menolak sebarang bentuk berat sebelah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button