Berita Utama

Banjir: Peruntukan RM800,000 diperlukan untuk baik pulih 2 ban pecah

'Sebagai langkah awal, pemasangan cerucuk bagi sekat aliran air sedang dilaksanakan'

BAGAN SERAI, 12 Muharram 1442H, Sabtu – Peruntukan khas sebanyak RM800,000 diperlukan untuk membaik pulih dua ban Rancangan Tebatan Banjir Kerian di Sungai Sama Gagah yang pecah akibat dilanda banjir semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak Datuk Zolkafly Harun berkata peruntukan tersebut bagi membolehkan Jabatan Pengairan dan Saliran menguatkan struktur ban sepanjang dua kilometer itu bagi menyekat pengaliran air.

Beliau berkata dua lokasi ban yang pecah sepanjang 30 dan 10 meter itu telah mengakibatkan banjir dan memberi kesan kepada kira-kira 400 infrastruktur termasuk rumah, sekolah dan ladang sawit penduduk yang dinaiki air.

“Sebagai langkah awal, pemasangan cerucuk bagi menyekat aliran air sedang dilaksanakan dan dijangka siap dalam tempoh dua hari. Tindakan segera ini bagi mengelakkan limpahan banjir berterusan,” katanya dalam sidang media selepas melawat lokasi ban pecah dan pusat penempatan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Pongsu hari ini.

Kedua-dua ban pecah susulan hujan lebat selama dua hari di Larut dan menurut Zolkafly, ia merupakan insiden banjir besar kedua yang melanda kawasan itu selepas 2003.

Beliau juga berkata laluan di antara Alor Pongsu-Selama di Jalan FT 1471, Kampung Matang Tengah ditutup kepada lalu lintas selepas ditenggelami air sedalam 0.5 meter yang boleh membahayakan keselamatan orang ramai.

PLUS Malaysia Berhad, menerusi ciapan di akaun Twitter rasmi, turut memaklumkan Hentian Sebelah Alor Pongsu di kedua-dua arah masih ditutup kepada semua kenderaan susulan banjir di kawasan itu.

Ahli Parlimen Bagan Serai Datuk Dr Noor Azmi Ghazali pula berkata penduduk di Mukim Beriah yang terlibat dengan banjir dinasihat agar berpindah ke PPS berhampiran demi keselamatan mereka.

Beliau berkata penduduk juga tidak perlu takut dengan risiko penularan COVID-19 kerana mereka yang bergejala dan merupakan kontak rapat diasingkan di dalam bilik khas.

“Langkah itu dibuat kerana kita bimbang varian Delta merebak dengan cepat,” katanya dalam sidang media selepas melawat PPS di SK Alor Pongsu dan SK Changkat Lobak hari ini.

Bekas Timbalan Menteri Kesihatan itu berkata demikian mengulas kebimbangan penduduk terhadap jangkitan COVID-19 untuk berpindah ke PPS terbabit. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button