Berita Utama

Kenyataan PM mudahkan perbincangan dalam PRN Melaka: PAS

‘Dalam politik sesaat pun kita boleh buat keputusan’

 

BANGI, 24 Rabiulawal 1443H, Ahad – PAS menyifatkan kenyataan Perdana Menteri yang berusaha mengelakkan pertembungan parti kerajaan Pusat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebagai memudahkan perbincangan lanjut dan dilihat sebagai langkah positif.

Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad berkata, kenyataan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mewakili suara UMNO itu membuka dimensi baharu yang lebih segar.

“Selagi PRN Melaka belum berlangsung, isu kerjasama dengan mana-mana parti masih mempunyai ruang untuk dibincangkan.

“Suara Perdana Menteri itu mewakili suara UMNO, apabila beliau menyebut begitu, insyaAllah ia membawa nada yang sangat positif daripada sudut perbincangan di peringkat parti-parti kerajaan,” katanya seperti dipetik Berita Harian, hari ini.

Semalam, Ismail Sabri merangkap Naib Presiden UMNO berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan berusaha untuk mengelak pertembungan tiga penjuru antara parti dalam kerajaan, termasuk dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRN Melaka, tidak lama lagi.

Berkenaan tempoh perbincangan yang semakin singkat berikutan penamaan calon PRN Melaka akan berlangsung 8 November ini, Kamaruzaman berkata, pihaknya sentiasa optimis dan ia bukanlah halangan besar.

“Masih sempat, dalam politik sesaat pun pun kita boleh buat keputusan.

“Apa yang penting ialah dasarnya positif dan dari segi pelaksanaannya, insyaAllah kita boleh bincang dan jadi lebih mudah,” katanya.

Khamis lalu, Mesyuarat Khas MKT UMNO membuat ketetapan untuk meneruskan kerjasama dengan PAS di Melaka selari dengan alasan utama mahu kukuhkan Muafakat Nasional (MN).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button