Berita Utama

Kompaun dikeluarkan kepada parti politik kerana gagal patuh SOP

'Kita mengambil tindakan tanpa memilih parti': KP Melaka

MELAKA, 24 Rabiulawal 1443H, Ahad – Kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), menyebabkan parti politik dikompaun di Melaka.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata antara pelanggaran SOP yang dilakukan adalah menggalakkan orang ramai berkumpul di sesuatu tempat, tiada penjarakan fizikal, tidak memakai pelitup muka, tidak menyediakan Kod QR MySejahtera dan cecair pembasmi kuman.

“Kita mengambil tindakan tanpa memilih parti, kerana keutamaan kita adalah (untuk) menjaga keselamatan awam. Kami ‘buta warna’ tentang parti politik, kerana polis adalah agensi kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk mendaulatkan undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas operasi Op Jihad Dadah di Krubong hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dua kompaun yang telah dikeluarkan di Melaka, membabitkan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pada 27 Okt lepas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada semalam.

Mengenai jumlah kompaun yang dikenakan, Abdul Majid berkata mana-mana pihak yang tidak berpuas hati boleh merujuk kepada Kementerian Kesihatan untuk rayuan pengurangan.

Dalam perkembangan lain, Abdul Majid berkata jumlah tangkapan penagih dadah di negeri ini meningkat sebanyak 16.4 peratus kepada 1,629 orang dalam tempoh 1 Jan hingga semalam, berbanding 1,399 orang dalam tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata usaha memerangi aktiviti penagihan dadah menerusi Op Jihad Dadah akan terus diperkasakan, dan setakat ini enam lokasi dikenal pasti sebagai kawasan panas penagihan iaitu di Krubong, Tanah Merah Jaya, Pantai Kundor, Bukit Tembakau, Kampung Berangan Enam dan Ayer Hitam Pantai. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button