Berita Utama

Tidak ‘faham’ sensitiviti punca kontroversi arak ‘Timah’ berlaku

Kefahaman diri lebih mahal daripada wujud akta yang bersifat sementara

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 24 Rabiulawal 1443H, Ahad – Kefahaman semua pihak adalah teras penting dalam menghormati dan menjaga sensitiviti kaum termasuk dalam isu pengeluaran produk yang boleh mengganggu keharmonian di negara ini.

Perkara itu disuarakan oleh Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang menyifatkan perkara itu sebagai lebih ‘mahal’ berbanding tindakan perundangan berbentuk hukuman yang hanya bersifat sementara.

“Saya merasakan kefahaman itu adalah lebih mahal, selain jadi garis panduan kepada sesuatu perkara bagi mengelak ia menjadi yang lebih keterlaluan seperti isu ‘Timah’.

“Walaupun boleh diwujudkan akta yang menetapkan produk tertentu sebagai garis panduan untuk mengawal tetapi kesannya hanya sementara sahaja.

“Namun sekiranya kefahaman diri ia lebih berharga kerana lahir daripada diri sendiri tanpa perlu diberikan garis panduan tertentu,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kesediaan pengeluar minuman keras jenama ‘Timah’ iaitu Winepark Corporation (M) Sdn Bhd untuk menukar nama dan imej di logo produk keluarannya dalam tempoh masa seminggu.

Pada masa sama, Nadzim tidak menafikan keperluan memperkenalkan akta baharu sebagai garis panduan dalam mengatasi isu-isu melibatkan produk sensitif seperti minuman keras.

“Mengambil contoh kita menghormati masyarakat India yang tidak makan hidangan daging, apakah perlu kita menjemput individu berkenaan ke majlis yang menghidangkan daging, ini dipanggil tidak mempunyai kefahaman yang jelas selain tidak menghormati kaum berkenaan.

“Dalam isu sebegini tidak perlu ada peraturan tertentu tetapi wujud kefahaman sendiri untuk kita menghormati masyarakat India berkenaan, sama juga dengan isu ‘Timah’,” ulasnya.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan supaya lebih tegas dengan memastikan syarikat pengeluar arak jenama ‘Timah’ benar-benar mengotakan janjinya dan bukan sekadar retorik bagi meredakan keadaan.

“Isu nak tukar nama ini perlu serius dan dibuat betul-betul. Kena ada satu bentuk penegasan daripada pihak kementerian dan agensi penguatkuasaan.

“Kalau negara mahu terus dihormati, kerajaan perlu bertegas dalam perkara ini supaya yang orang bukan Islam akan hormat kepada kita apabila berada di negara ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button