Berita Utama

Banci 2020 tamat, 32.3 juta penduduk Malaysia dibanci

9.5 juta tempat kediaman dan 8.1 juta isi rumah dibanci sejak Julai 2020

 

KUALA LUMPUR, 25 Rabiulawal 1443H, Isnin – Banci Malaysia 2020 yang berakhir 31 Oktober mencapai tahap membanggakan apabila 32.3 juta penduduk Malaysia atau 99.2 peratus daripada 32.6 juta jumlah anggaran penduduk dibanci meskipun dilaksanakan ketika pandemik COVID-19.

Pesuruhjaya Banci 2020 Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, sebanyak 9.5 juta tempat kediaman dan 8.1 juta isi rumah telah berjaya dibanci dalam tempoh Julai 2020 sehingga semalam.

Susulan penularan COVID-19, katanya pelaksanaan banci bersemuka telah beberapa kali ditangguhkan dan seramai 330 pegawai banci pula telah dijangkiti dan seorang daripadanya meninggal dunia.

“Operasi Banci 2020 akhirnya ditutup selepas 482 hari dilaksanakan di negara ini dengan kos sebanyak RM400 juta,” katanya dalam sidang media penutupan operasi Banci 2020, hari ini.

Banci Malaysia 2020 dilancarkan Julai 2020 melalui beberapa fasa penjadualan dan penyesuaian semula tempoh operasi apabila banci bersemuka tidak dapat dijalankan berikutan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Mohd Uzir berkata, pelaksanaan Banci 2020 dilaksanakan menggunakan lima kaedah iaitu e-Census; Computer Assisted Telephone Interview (CATI); Computer Assisted Personal Interview (CAPI); Paper dan Pen Interview (PAPI) dan Drop Off Pick Up (DOPU).

“Daripada 32.3 juta penduduk Malaysia yang telah dibanci, seramai 23.6 peratus penduduk dibanci secara dalam talian melalui e-Census dan CATI manakala selebihnya bersemuka, katanya.

“Banci secara dalam talian mencatatkan peningkatan 24 peratus berbanding hanya 0.5 peratus ketika pelaksanaan banci sebelum ini. Ia mungkin kerana ramai berada di rumah ketika pandemik,” katanya.

Berkongsi beberapa dapatan awalan operasi Banci Malaysia 2020, Mohd Uzir berkata purata kadar pertumbuhan tahunan penduduk Malaysia adalah 1.6 peratus manakala purata saiz isi rumah mencatatkan 4.0 pada 2020.

Menurutnya, purata penduduk Malaysia pula merangkumi 91.6 peratus warganegara iaitu Bumiputera (69.7 peratus), Cina (22.9 peratus), India (6.6 peratus) serta lain-lain (0.8 peratus) manakala 8.4 peratus lagi adalah bukan warganegara.

“Nisbah jantina menunjukkan 106 orang lelaki bagi setiap 100 wanita di Malaysia,” katanya.

Dapatan daripada bancian 32.3 juta penduduk Malaysia itu menunjukkan 25.6 peratus adalah dalam kalangan umur (0-14 tahun), 69.1 peratus penduduk umur bekerja (15-64 tahun) dan 5.3 peratus berumur 65 tahun ke atas.

“Penduduk paling tua yang direkodkan dalam Banci 2020 serta selari dengan data Jabatan Pendaftaran Negara ialah 120 bagi lelaki dan 117 bagi wanita,” katanya.

Laporan penemuan awalan Banci Malaysia 2020 dijangka dapat dikeluarkan pada Januari tahun depan.

“Terdapat lebih 1,000 laporan Banci 2020 akan dikeluarkan di pelbagai peringkat dan semua pihak boleh menggunakan data tersebut,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button