Artikel Khas

PM interim perlu regu yang ada watak pendamai dengan asas Qawiy al Amin

Tuan Ibrahim paling layak jadi TPM?

Tuan Ibrahim Tuan Man (TITM) paling layak menjadi regu sebagai TPM kerana ada ciri Qawiy al amin dan watak pendamai yang boleh memperkuatkan MN dan PN.

Setelah Perdana Menteri (PM) meletak jawatan semalam, tidak lama lagi negara kita akan mendapat PM interim yang akan dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Jika PM interim datang daripada UMNO, regu TPM yang terbaik adalah Tuan Ibrahim Tuan Man. Ini bukan soal parti, tetapi soal masa depan negara, PN dan MN. Sementara menunggu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.

Kenapa saya berkata sedemikian?

Pertama, Tuan Ibrahim bebas daripada skandal 3 TA, takhta, harta dan wanita, yang lazim terdapat pada ahli politik. Jauh sekali daripada skandal seks seperti yang menimpa beberapa pemimpin lain, sama ada skandal seks sejantina mahupun berlainan jantina.

Kedua, TITM mempunyai watak pendamai. Watak pendamai ini amat penting dalam mendamaikan umat Islam ketika krisis. Bukan pemimpin lain tidak ada, tetapi markah lebih menyebelahi TITM.

Ketiga, kejayaan TITM menguruskan Kementerian Air dan Alam Sekitar (KASA) walaupun kurang daripada 22 bulan. Tahun pertama menjadi menteri, berjaya selesaikan perjanjian penstrukturan air tiga negeri. Sedangkan PH gagal selesaikan waima satu negeri sepanjang 22 bulan memerintah. Kejayaan penstrukturan air Pahang telah membolehkan negeri tersebut mengurangkan hutang Persekutuan sebanyak RM2 bilion. Begitu juga negeri Kedah dan Perlis. Kesannya, penghapusan hutang Persekutuan sebanyak RM699 juta (Kedah) dan RM185.4 juta (Perlis)

Keempat, TITM pandai memilih pasukan berkesepakaran untuk membantu menguruskan KASA. Kepandaian memilih pasukan kesepakaran tanpa melihat ideologi dan latar belakang ini menjadi KASA terserlah. Kadang kala kita lebih memilih pasukan kesepakaran yang hanya pandai membodek dan mengampu. Tetapi tidak kepada TITM.

Kelima, TITM mempunyai hubungan akrab dan memahami tatacara berinteraksi dengan institusi diraja. Saya banyak kali juga berforum sepentas dengan TITM terutama ketika Forum Perdana Ehwal Islam TV1 berada di kemuncak. Sejak dahulu TITM mempunyai hubungan yang amat baik dengan YDPA (istana), terutama apabila melibatkan program agama dengan pihak istana. Sudah tentu TITM disenangi oleh pihak istana.

Keenam, TITM mempunyai watak dan potensi besar dalam menyatukan orang Melayu berhadapan PRU15. Dengan watak dan keperibadian TITM, tidak mustahil TITM boleh menjadi penyatu kepada bukan sahaja Melayu dan bumiputera Sabah Sarawak tetapi juga bukan Melayu (Islam)

Ketujuh, jarang kedengaran semasa menjadi menteri, beliau mengambil pendekatan ‘menyerang’. Lebih kelihatan fokus kepada agenda menguruskan negara.

Banyak lagi watak TITM yang saya kenali secara peribadi. Watak ‘orang tua’ yang berhemah, kaya dengan senyuman. Cukup sekadar ini dahulu. Bukan mahu membodek. Sekadar luahkan kebenaran meskipun pahit.

Apa yang ingin ditonjolkan adalah, semua ini membuktikan bahawa pak lebai boleh menguruskan negara secara profesional dengan baik jika diberikan peluang. Sifat takut kepada Allah menjadikan pak lebai lebih berhati-hati dalam menguruskan negara, walaupun saya tidak nafikan ada pak lebai yang bernafsu besar.

Mungkin ada dalam kalangan kita tidak bersetuju, tetapi kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju.

Apapun PM interim dan regunya perlu ada asas utama iaitu al-Qawiy dan al-amin. Inilah yang sukar untuk dicari. Qawiy ialah kekuatan, kemampuan dan kemahiran menjalankan tugas. Manakala al-amin ialah amanah atau bertanggungjawab. Kemampuan untuk melaksanakan dan al-amanah ialah perasaan takutkan Allah SWT dari melakukan pengkhianatan atau kecuaian. Sekiranya dua ciri ini dipastikan, maka sudah tentu tanggungjawab kepimpinan tidak akan dicemari, kebajikan rakyat terpelihara.

Hari ini, kita ketandusan tokoh untuk memenuhi kedua asas ini, ada memiliki al-qawiy atau kekuatan dan kemampuan tetapi kurang amanah, sementara seorang lagi memiliki ciri amanah iaitu soleh dan bertanggungjawab tetapi lemah atau tidak berkemampuan. Sudah tentu kita amat perlukan kedua-duanya terutama ketika pandemik ini. Moga Allah memberikan keberkatan dengan adanya pemimpin qawiy al amin. Kita tidak mahu lagi pemimpin yang terlibat dengan salah laku, salah guna kuasa, korupsi dan rasuah yang boleh meruntuhkan negara.

Dalam hal ini, siapa yang lebih layak untuk dipilih sebagai PM interim dan regunya? Malah, saya tidak menolak jika TITM turut boleh dicalonkan sebagai PM interim, demi maslahah agama, bangsa dan negara.

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button