Berita Utama

Tambah bajet, kerajaan sedang perkukuh kedudukan vernakular?

Ketika ini terdapat 1,800 SJKC dan SJKT di seluruh negara

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 25 Rabiulawal 1443H, Isnin – Cadangan kerajaan untuk menaikkan peruntukan vernakular dalam pembentangan Bajet 2022 dilihat sebagai usaha memperkasakan sekolah tersebut.

Nyata ia jauh menyimpang daripada aspirasi majoriti rakyat yang mahu melihat sekolah aliran berkenaan dihapuskan.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Mohd Azizee Hasan melihat, jumlah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) yang kini mencecah 1,800 buah sudah memadai dan tidak perlu ditambah lagi.

Justeru, beliau menagih keprihatinan kerajaan supaya ‘cukup-cukuplah’ peruntukan yang diberikan selama ini dan sudah tiba masa untuk bertegas dalam isu sekolah berkenaan.

“Dalam hal ini kita perlu menghentikan pertambahan sekolah baharu vernakular di negara kita, cukup-cukuplah apa yang ada hari ini, jangan tambah lagi yang baharu.

“Semua ini penting supaya sekolah berkenaan tidak berterusan bermaharajalela di negara ini sehingga menyebabkan sistem pendidikan kebangsaan negara diperlekehkan dan ditindas,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, The Star melaporkan peruntukan bajet untuk penyelenggaraan dan penambahbaikan bagi sekolah vernakular meningkat berbanding tahun lalu.

Media itu melaporkan, dalam Bajet 2021, semua sekolah vernakular Cina dan Tamil diperuntukkan kira-kira RM104 juta untuk penyelenggaraan dan naik taraf.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, RM120 juta disediakan untuk manfaat 1,800 SJKC dan juga SJKT bagi tahun 2022.

Mengulas lanjut Ustaz Mohd Azizee berkata, sudah tiba masa semua pihak berganding bahu memperkasakan sekolah kebangsaan (SK) di negara ini.

Ini kerana tegas beliau, SK menjadi penanda aras kepada tahap pencapaian pendidikan di negara, selain asas kekuatan perpaduan kini dan masa hadapan.

“Kualiti infrastruktur dan akademik di sekolah kebangsaan harus ditambah baik, selain meneliti dan mengkaji semula subjek yang diajar di peringkat sekolah rendah serta menengah ketika ini.

“Pemerkasaan sekolah kebangsaan bukanlah bermaksud kita mengabaikan pihak lain, namun ia harus menjadi keutamaan kerajaan,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau turut mencadangkan supaya bantuan tidak diberikan lagi kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) yang kewujudannya jelas melanggar Dasar Pendidikan Negara.

“Untuk apa kita bantu mereka lagi sedangkan mereka sendiri tidak mahu ikut sistem pendidikan kebangsaan kita sebaliknya guna sukatan pelajaran dari negara luar,” tegas beliau.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button