Berita Utama

Beberapa bahagian UMNO Melaka tolak kerjasama Bersatu

Keputusan dibuat bagi menghormati kehendak akar umbi

MELAKA, 25 Rabiulawal 1443H, Isnin – Beberapa bahagian UMNO di negeri ini menolak sebarang kerjasama diadakan antara parti dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 Nov ini.

Ketua Bahagian UMNO Tangga Batu Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad yang mewakili kumpulan berkenaan berkata keputusan itu dibuat bagi menghormati kehendak akar umbi selain terdapat beberapa faktor lain yang menyebabkan kerjasama itu tidak dapat diadakan.

“Keputusan yang kami buat adalah atas kehendak akar umbi. Ketetapan ini adalah yang terakhir kita buat. Maknanya kita tidak ada lagi perbincangan atau apa-apa pendekatan untuk bersama dengan Bersatu,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Bahagian UMNO Kota Melaka Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, Ketua Bahagian UMNO Hang Tuah Jaya Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali dan Timbalan Ketua Bahagian UMNO Alor Gajah Datuk Rosepandi Leman.

Dalam pada itu, Mohamad Ali juga mahu UMNO memperkukuhkan Mufakat Nasional (MN) bersama PAS bagi menghadapi PRN berkenaan.

“Jadi saya menyeru kepada semua ahli UMNO dan PAS untuk kita bersama-sama dalam usaha memenangi PRN Melaka pada kali ini bagi kebaikan rakyat keseluruhan di Melaka,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal 16 Nov.

PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Okt lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas). – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button