Pembinaan SJKC Too Joon Hing dihentikan serta-merta
KPM putus semak semula data, dokumen pemindahan

BANGI, 25 Rabiulawal 1443H, Isnin – Kementerian Pendidikan (KPM) dilapor mengarahkan kerja pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Too Joon Hing dihentikan serta-merta – dipercayai susulan bantahan ramai pihak.
Timbalan Menteri Pendidikan I, Senator Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, KPM memutuskan untuk menyemak semula semua data dan dokumen berkenaan SJKC Too Joon Hing.
Memetik kenyataan Facebook MCA Lantian jelasnya, ia untuk menilai sama ada pemindahan SJKC Too Joon Hing ke tapak sekarang mengikut prosedur operasi standard (SOP).
Terdahulu, Hang Soon mendakwa, SJKC Too Joon Hing adalah antara 10 SJKC yang diluluskan oleh kerajaan ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN) pada tahun 2017 atas permohonan MCA.
Dakwanya, lokasi asal pembinaan ini ketika diluluskan ialah Taman Putra Prima Puchong, tetapi telah ditukar ke Bandar Kinrara Seksyen 5 semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH).
“Oleh kerana prosedur pertukaran ini telah selesai, KPM telah mengeluarkan permit kelulusannya dan diserahkan kepada jawatankuasa pembinaan sekolah ini pada bulan Mei tahun lepas,” katanya.