Berita Utama

Penyatuan 3 parti Melayu mimpi ngeri bagi PH

PH merasakan mereka bakal kembali berkuasa di Melaka

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 25 Rabiulawal 1443H, Isnin – Pakatan Harapan (PH) datang ke Pilihan Raya Kecil (PRN) Melaka dengan motivasi tinggi apabila mengetahui UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak sebulu dalam arena politik negara.

Malah, PH juga merasakan mereka yang pernah mendapat mandat rakyat untuk memerintah negara pada pilihan raya umum lalu mampu mengulangi kejayaan sama pada PRN kali ini.

Bagaimanapun, penganalisis politik, Prof Dr Jeniri Amir berkata, usaha penyatuan yang sedang dilakukan oleh tiga parti Melayu terbesar iaitu UMNO, PAS dan Bersatu seperti didedahkan baru-baru ini membuatkan pakatan yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim itu tidak senang duduk.

Katanya, ia umpama mimpi ngeri kerana demografi kuasa dan corak undian di PRN Melaka pastinya berubah sekiranya Barisan Nasional (BN) bergabung dengan Perikatan Nasional (PN).

“Perpaduan daripada ‘tiga beradik’ ini akan membawa undi yang lebih padu sekali gus dapat menguasai kawasan masing-masing.

“Mereka boleh saling menyokong dan saling membantu untuk dapat perluasan parti secara bersama.

“Namun kerjasama itu menyebabkan PH kini ‘tidak kena duduk’ kerana tidak menyangka berlaku penyatuan muhibah seperti ini sehingga merasakan mereka bakal berkuasa di Melaka dalam PRN ini,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menjelaskan terdapat perkembangan positif mengenai kerjasama antara UMNO, PAS dan Bersatu dalam menghadapi PRN Melaka.

Beliau berkata, perkara itu adalah hasil mesyuarat yang diadakan bersama tiga buah parti itu baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Prof Jeniri berkata, kerjasama tiga parti itu perlu disegerakan untuk memberi persiapan kepada pengundi untuk memberikan sokongan.

“Seharusnya penyatuan ini berlangsung lebih awal untuk memberi kesempatan kepada pengundi untuk membuat persiapan,” ujarnya.

Dalam masa sama, katanya, penjelasan yang tepat perlu diberikan kepada pengundi memandangkan kempen yang dilaksanakan ketika ini sangat berbeza di mana tanpa pertemuan fizikal.

“Kita bimbang penjelasan lambat membuatkan pengundi terpinga-pinga dan keadaan ini memberi kesempatan pihak sebelah sana pula memancing undi dengan cara yang lebih efektif,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button