Berita Utama

Enam penuntut UPNM didapati bersalah sebabkan kematian Zulfarhan

Pihak pembelaan berjaya buktikan kesemua tertuduh lakukan kesalahan

KUALA LUMPUR, 26 Rabiulawal 1443H, Selasa  – Enam penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini  atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat Pegawai Kadet Laut UPNM Zulfarhan Osman Zulkarnain, empat tahun lepas.

Hakim Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu ke atas Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali selepas mendapati pihak pembelaan berjaya membuktikan kesemua tertuduh melakukan kesalahan mendatangkan kecederaan kepada Zulfarhan Osman tanpa niat membunuh.

“Dengan ini kamu berenam dengan niat bersama dan dengan persubahatan tertuduh keenam (Abdoul Hakeem) didapati bersalah di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan dengan niat menyebabkan kecederaan kepada si mati (Zulfarhan Osman) tanpa niat membunuh,” kata hakim itu.

Lima tertuduh itu sebelum ini menghadapi pertuduhan membunuh Zulfarhan Osman di bawah  Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan, manakala Abdoul Hakeem didakwa bersubahat membunuh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman serupa.

Sementara itu, enam tertuduh itu bersama 12 rakannya didapati bersalah mencederakan Zulfarhan Osman di bawah Seksyen 330 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button