Berita Utama

Bajet 2022 tiada faktor ‘wow’, belum mampu selesai masalah akar: BERJASA

Patut semak kembali harga bahan asas yang makin meningkat

BANGI, 26 Rabiulawal 1443H, Selasa – Parti BERJASA menyambut baik peruntukan terbesar RM52.6 bilion atau 16 peratus daripada keseluruhan anggaran perbelanjaan Persekutuan yang diberikan kepada Kementerian Pendidikan (KPM).

Pun begitu, peruntukan bajet untuk KPM seringkali lebih tertumpu kepada pembangunan infrastruktur – kos pembaikan dan penyelenggaraan sekolah – yang hanya akan membuatkan kontraktor ‘senyum lebar’, kata Ketua Penerangan BERJASA, Hazwan Mohamad.

“Dari sudut realistiknya, bajet untuk KPM perlu  transformasi baharu. Anak-anak kita sudah dua tahun menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), saya kira tidak semestinya peruntukan hanya untuk infrastruktur. 

“… bukan hanya sekadar melambakkan wang dalam KPM, akhirnya hanya untuk bina sekolah baharu dan sebagainya.

“Tapi kita tak lihat masalah akar pendidikan yang perlu untuk kerajaan selesaikan melalui peruntukan bajet,” katanya dalam Analisis Pasca Bajet 2022 yang disiarkan TV Pertiwi, malam ini.

Begitu juga dengan bajet untuk para wanita, Hazwan berpandangan bahawa Belanjawan 2022 kali ini masih tidak memiliki faktor ‘wow’.  

Selain daripada cadangan untuk mewajibkan pelantikan sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita bagi semua syarikat senaraian awam yang layak dipuji, beliau mengakui peruntukan lain masih tidak memberikan satu kejutan.

“Kerajaan belum jumpa kaedah untuk selesaikan masalah akar itu sendiri. Hanya sekadar mewujudkan pusat pemulihan wanita, pusat sokongan. 

“Sedangkan apa yang perlu diambil perhatian adalah apa yang wanita hadapi, fokus kenapa ia menjadi satu masalah sehingga perlu diwujudkan pusat sokongan ini. Itu yang tidak mampu diterjemahkan dalam bajet.  

“Sepatutnya kerajaan melihat apa keperluan wanita, bagaimana memperkasakan mereka. Bukan hanya melihat masalah wanita, akhirnya perlu pusat sokongan. Sedangkan mereka memerlukan peruntukan untuk memperkasakan golongan mereka,” katanya lagi. 

Sementara itu, menyentuh mengenai masalah kemiskinan yang terus membelenggu rakyat Malaysia terutama pasca pandemik COVID-19, beliau berkata, apa yang perlu diperhalusi serta dinilai kembali adalah isu kos sara hidup.

“Untuk membasmi kemiskinan, kita perlu melihat bagaimana kos sara hidup, adakah rakyat hidup dalam keadaan kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Apakah yang sebenarnya berlaku?

“Masalah ini masih tak selesai akhirnya kerajaan mendabik dada mengatakan ini (kemiskinan) adalah masalah universal. Tidak ada satu kejujuran daripada kerajaan untuk menyelesaikan masalah akar. 

“Sepatutnya bukan hanya bagi wang, tapi semak kembali harga bahan asas yang makin meningkat serta perjuangan meningkatkan tangga gaji,” katanya.

Katanya, perkara paling dasar yang perlu adalah untuk melihat kepada barisan kepimpinan baharu.

“Perlukan satu kepimpinan baharu yang tidak berada di bawah tekanan kapitalis dan berani untuk turun menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.

Pautan;

https://www.facebook.com/TvPertiwi/videos/418530256508933/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button