Berita Utama

BERJASA turun padang selagi isu pembinaan SJKC Too Joon Hing belum selesai

‘Jangan guna tangan ghaib untuk tukar status dan lakukan pencerobohan'

BANGI, 26 Rabiulawal 1443H, Selasa – Parti BERJASA tidak teragak-agak ‘turun padang’ membuat bantahan sekiranya isu pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Too Joon Hing timbul lagi pada masa hadapan.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dilaporkan telah mengarahkan kerja pembinaan SJKC Too Joon Hing dihentikan serta-merta – dipercayai susulan bantahan ramai pihak.

Timbalan Menteri Pendidikan I, Senator Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, KPM memutuskan untuk menyemak semula semua data dan dokumen berkenaan SJKC Too Joon Hing.

Mengulas perkara itu, Ketua Pemuda BERJASA, Ustaz Fahmi Bazlan Muda berkata, pihaknya menyambut baik keputusan pembatalan pembinaan SJKC Too Joon Hing Bandar Kinrara Seksyen 5 kerana sekolah itu tidak wajar dibina di kawasan tersebut.

“Hasil daripada pihak kami turun padang dan mendengar sendiri rintihan dan bantahan yang telah dilakukan penduduk Kinrara, khususnya Pengerusi Persatuan Penduduk BK5B Bandar Kinrara Haji Mohamad Haron Haji Mohamad Sidik, mereka membantah pencerobohan ini. 

“Mereka menegaskan bahawa kawasan ini adalah kawasan majoriti Melayu dan tidak sepatutnya pembangunan SJKC terus dilaksanakan di situ dan ditambah hingga ke tujuh bilangan SJKC. 

“Ini adalah terlalu melampau kerana sekolah kebangsaan di kawasan hanya ada tiga buah sekolah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Ustaz Fahmi berkata, ini adalah satu kesilapan yang telah dilakukan dengan sengaja oleh pihak yang tidak bertanggungjawab khususnya ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan. 

“Pemerintahan mereka menatijahkan kepada penukaran status tanah itu dan saya yakin ada pihak yang terlibat yang sengaja campur tangan dalam urusan campur tangan status ini. 

“Jadi hari ini BERJASA mengucapkan terima kasih kepada seluruh warga penduduk Bandar Kinrara di atas kerjasama yang diberikan hasil usaha kerja keras kita selama ini. Hari ini bantahan kita didengari,” katanya.

Beliau menegaskan, BERJASA memandang serius isu ini kerana ini adalah isu kedaulatan tanah air dan isu maruah. 

“Jadi, saya sekali lagi memberi amaran kepada pihak yang tidak bertanggungjawab supaya jangan biasakan guna tangan ghaib untuk menukar status dan melakukan pencerobohan. 

“Jika ia berlaku sekali lagi, kami (BERJASA) akan turun padang menyelesaikan isu ini,” tegasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button