Berita Utama

Umat Islam 70 negara sertai World#QurahHour 2022

Tahun ini program tersebut mengangkat surah As-Sajdah

KUALA LUMPUR, 24 Ramadan 1443H, Selasa – Umat Islam di kira-kira 70 negara melibatkan 15,000 lokasi di seluruh dunia hari ini membaca Al-Quran menerusi program World Quran Hour kali ke-7 berlangsung selama sejam bermula jam 12 tengah hari tadi.

Pengasas Quran Hour Datuk Hussamuddin Yaacub yang juga Pengerusi Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) berkata, tahun ini program tersebut mengangkat surah As-Sajdah untuk dialunkan sesuai dengan tema pada kali ini ‘Dunia Bersujud’.

“Surah ini kita jadikan tema tahun ini kerana ia relevan dengan situasi kita selepas COVID-19, dua tahun kita diuji dan kita perlu bersujud kepada Allah sebagai ikhtiar kita bangkit kembali,” katanya dalam temu bual dengan Bernama Radio di sini hari ini.

Hussamuddin yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf berkata lebih istimewa tahun ini, Permasuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan membaca Al-Quran bersama peserta di lokasi utama stesen TV Al-Hijrah.

Selain stesen TV Al-Hijrah, program itu turut diadakan di beberapa lokasi di seluruh negara, antaranya di Malakat Mall, Cyberjaya; Selangor (Perbadanan Perpustakaan Awam dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri); Kuala Lumpur (Telekom Malaysia Berhad Prolintas Group of Companies dan Masjid Mu’adz Jabal) dan Kelantan (Mydin Tunjong di Kota Bharu).

Program tu juga disiarkan secara langsung di TV Al-Hijrah dan media sosial stesen TV dan radio tempatan termasuk Sinar Harian, Bernama dan Astro Oasis dengan menjemput enam Qari dan dua pentadabur bagi mengalunkan ayat-ayat Quran.

Menurut Hussamuddin, mereka yang berada di rumah boleh menyertai program itu dengan membaca surah As-Sajdah yang ditetapkan.

Sementara itu, tinjauan Bernama di beberapa lokasi program mendapati peserta memanfaatkan masa satu jam meninggalkan rutin harian masing-masing seketika bagi membaca dan menghayati surah As- Sajdah.

Di Masjid Mu’adz Bin Jabal Taman Setiawangsa di sini, program berkenaan turut diisi dengan majlis Khatam al-Quran Perdana yang disertai 100 hingga 150 jemaah.

Ahli Jawatankuasa Bahagian Dakwah dan Pendidikan Masjid Mu’adz Bin Jabal Prof Datuk Azlie Halim berkata, ia juga bagi meraikan peserta tadarus pelbagai peringkat umur yang khatam al-Quran sempena bulan Ramadan.

“Jadi, program bermula dengan tadabur al-Quran surah Sajdah bermula 11.30 pagi, diikuti bacaan surah Sajdah 12 tengah hari serentak di seluruh dunia sebelum kita teruskan dengan program khatam al-Quran Perdana dan penyampaian sagu hati kepada jemaah,” katanya.

Di SELANGOR, program alunan bacaan kitab suci selama satu jam di Perpustakaan Raja Tun Uda, Seksyen 13 di sini disertai lebih 200 kakitangan gedung ilmu berkenaan manakala di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, lebih 300 kakitangan jabatan itu menyertainya.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Mastura Muhamad berkata pihaknya menyokong penganjuran program itu sejak 2016 lagi dan program kali ini turut dilaksanakan serentak di seluruh perpustakaan awam Selangor.

“Apabila kami diberitahu bahawa surah As-Sajdah akan diangkat dalam penganjuran program kali ini, yang bercakap mengenai pemimpin, saya telah mengarahkan semua kakitangan saya untuk stop doing anything (berhenti melakukan kerja seketika) dalam masa sejam bagi bersama-sama dalam acara ini.

Di KELANTAN fasa peralihan ke endemik memberi peluang kepada program World #QuranHour diadakan secara bersemuka melibatkan 500 peserta di Pasar Raya Besar Mydin Tunjong, di sini hari ini berbanding dalam talian sebelum ini.

Pengerusi Persatuan Rumah Ngaji Kelantan Datuk Adnan Hashim berkata selepas dua tahun COVID-19, program tersebut sesuai untuk membawa masyarakat kembali kepada al-Quran menerusi gelombang ‘Baca, Faham dan Amal’ ” katanya.

Menurutnya, program yang dijalankan di pasar raya itu boleh membuka minda bahawa al-Quran bukan hanya dibaca di masjid dan surau tetapi juga di mana-mana sahaja. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button