Berita Utama

Belia PEMBELA tempelak Ketua Pemuda MCA masih tak sedar arak rosakkan anak muda

Mesej apa mahu dibawa hingga lantang pertahankan arak sebegini?

BANGI, 27 Rabiulawal 1443H, Rabu – Tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menguatkuasakan larangan penjualan arak (liquor) di kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat Cina wajar disambut baik semua pihak.

Menyifatkan langkah itu sebagai terkehadapan, Ketua Belia PEMBELA, Nor Aizat Rahim yakin ia dapat mengurangkan kebolehcapaian masyarakat terhadap arak, terutama golongan belia secara keseluruhannya.

Bagaimanapun beliau kesal apabila segelintir pihak masih mempertikaikan keputusan yang ditangguhkan selama sebulan itu.

“Antara ramai-ramai pemimpin politik yang mengecam langkah ini, yang membimbangkan ialah antara yang paling awal dan paling lantang berbunyi ialah Ketua Pemuda MCA, iaitu Nicole Wong.

“Ke manakah Nicole mahu bawa anak-anak muda Cina melalui MCA ini? Apakah beliau tidak faham bahawa arak memang terbukti merosakkan golongan belia?

“Mesej apakah yang ingin dibawa kepada masyarakat, apabila pemimpin belia yang paling laju dan lantang mempertahankan arak sebegini?,” soalnya.

Terdahulu, parti berasaskan kaum MCA menyatakan rasa tidak puas hati terhadap pengumuman DBKL yang meneruskan larangan penjualan minuman keras di kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat Cina berkuat kuasa, 1 November.

Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MCA Wilayah Persekutuan, Datuk Nicole Wong Siaw Ting berkata, larangan itu disifatkan sebagai satu tindakan terkebelakang di era moden ini.

Katanya, keputusan DBKL telah menjejaskan matlamat ‘Keluarga Malaysia’ oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang berpaksikan kebersamaan.

Katanya lagi, garis panduan baharu itu menambahkan kesan buruk kepada perniagaan dalam keadaan ekonomi yang semakin teruk, selepas berdepan cabaran yang disebabkan pandemik.

Nor Aizat mendakwa, seluruh dunia bersusah payah mahu menjauhkan anak-anak muda mereka daripada ketagihan arak kerana kesilapan lampau di peringkat polisi dan penguatkuasaan.

“Takkanlah kita pula tak mahu ambil iktibar?,” soalnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button