Berita UtamaDunia

Ethiopia isytihar darurat selepas pemberontak ancam tawan bandar besar

Rakyat digesa bersedia angkat senjata pertahan kawasan masing-masing

ADDIS ABABA, 27 Rabiulawal 1443H, Rabu – Ethiopia mengisytiharkan darurat selepas pemberontak dari wilayah utara Tigray berkata mereka sedang menawan beberapa wilayah dan bandar besar serta mengancam untuk bergerak ke ibu negara, Addis Ababa.

Pengumuman itu dibuat dua hari selepas Perdana Menteri, Abiy Ahmed menggesa rakyat mengangkat senjata untuk mempertahankan diri daripada Barisan Pembebasan Rakyat Tigray (TPLF).

Semalam, pihak berkuasa di Addis Ababa memberitahu penduduk untuk mendaftarkan senjata mereka dan bersedia mempertahankan kawasan kejiranan.

Keadaan darurat itu dikenakan selepas TPLF mendakwa telah menawan beberapa bandar sejak beberapa hari lalu dan berkata, ia sedang mempertimbangkan untuk berarak ke Addis Ababa, kira-kira 380 kilometer (235 batu) ke selatan daripada kedudukan mereka.

Kali terakhir Ethiopia mengenakan langkah sedemikian adalah pada Februari 2018, iaitu selama enam bulan sebelum peralihan kuasa kepada Abiy. 

Perintah berkurung telah dikuatkuasakan dan pergerakan rakyat dihadkan, manakala beribu-ribu orang ditahan.

Pentadbiran bandar berkata, orang ramai perlu mendaftarkan senjata dan berkumpul di kawasan kejiranan mereka.  

Penggeledahan dari rumah ke rumah sedang dijalankan dan pengacau akan ditahan, kata satu kenyataan.

“Penduduk boleh berkumpul di kawasan mereka dan menjaga persekitaran mereka.

“Mereka yang mempunyai senjata tetapi tidak dapat mengambil bahagian dalam menjaga kawasan mereka dinasihatkan supaya menyerahkan senjata itu kepada kerajaan atau saudara terdekat atau rakan mereka,” katanya.

Sebelum pengumuman itu, orang ramai bergerak di sekitar ibu kota seperti biasa.

“Saya akan cuba membeli bahan makanan terlebih dahulu. Tetapi setakat ini saya masih belum membeli apa-apa lagi,” kata seorang wanita yang enggan namanya disiarkan.

Kerajaan empat daripada 10 wilayah di negara itu juga menyeru rakyat Ethiopia untuk bergegas memerangi pemberontak Tigrayan, kata Fana TV yang bersekutu dengan kerajaan.

Konflik bermula pada malam 3 November 2020, apabila pasukan yang setia kepada TPLF – termasuk beberapa askar – merampas pangkalan tentera di Tigray, wilayah utara. 

Sebagai tindak balas, Abiy menghantar lebih banyak tentera ke sana.

TPLF telah menguasai politik negara selama hampir tiga dekad tetapi kehilangan banyak pengaruh apabila Abiy memegang jawatan pada 2018 berikutan protes antikerajaan selama bertahun-tahun.

Hubungan dengan TPLF memburuk selepas mereka menuduh Abiy memusatkan kuasa dengan mengorbankan negara serantau Ethiopia – satu tuduhan yang dinafikan Abiy. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button