Berita Utama

Hua Zong jangan melampau, sekolah vernakular ditubuh atas dasar ihsan

Pemimpin politik kita seolah gagal pertahan kepentingan watan

BANGI, 27 Rabiulawal 1443H, Rabu – “Hua Zong makin melampau! Kerajaan jangan sesekali tunduk desakan puak cauvinis Cina.

“Jangan kerana kemaruk undi, pemimpin politik menjadi buta dan tuli biarkan Perlembagaan dipinda dan dirobek semata-mata mengukuhkan kedudukan sekolah vernakular.”

Demikian tegas Ketua Wanita BERJASA Johor, Azizah Che Awang mengulas permintaan NGO berasaskan kaum Cina, yang disifatkannya tidak masuk akal.

Terdahulu, Hua Zong meminta kerajaan mengadakan perbincangan yang mendalam mengenai kedudukan sekolah vernakular di bawah Perlembagaan Persekutuan serta meminda atau memperkuatkan peruntukan yang relevan jika perlu.

Presiden Hua Zong, Tan Sri Goh Tian Chuan berkata, ia bagi mengelakkan kedudukan Sekolah Jenis Kebangsaa Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) di bawah Perlembagaan terus dicabar.

Mengulas perkara itu, Azizah berkata, Hua Zong sepatutnya faham konsep Keluarga Malaysia, di mana keadilan menjadi asas perpaduan bukan sama rata, tetapi meletakkan sesuatu pada tempatnya atau memberikan hak kepada yang berhak.

“Sungguh melampau permintaan Hua Zong bila meminta kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan semata–mata untuk mengukuhkan kedudukan sekolah–sekolah vernakular, SJKC dan SJKT.

“Menurut bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah, memang tiada peruntukan dalam Perlembagaan yang membenarkan penubuhan sekolah jenis kebangsaan (Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan).

“Ini sangat jelas menunjukkan bahawa penubuhan SJK dibuat oleh kerajaan atas dasar ihsan dan toleransi tinggi daripada pemimpin kerajaan,” katanya.

Selain itu, Azizah menegaskan bahawa rakyat telah lama menyaksikan pemimpin politik Melayu yang dominan dalam kerajaan gagal mempertahankan kepentingan watan.

Lebih menyedihkan lagi apabila ‘menikus’ dan beralah apabila diasak dan didesak oleh kesatuan ultra kiasu Cina untuk memenuhi kehendak sekolah vernakular.

“Sudahkah hak dan keperluan sekolah–sekolah aliran perdana (SK, SMK, SMKA) dan sekolah–sekolah agama yang jelas termaktub dalam Perlembagaan ditunaikan oleh kerajaan?

“Mengapa sekolah–sekolah vernakular yang sedia gah lebih diberi fokus sedangkan mereka sudah ada dana yang mencukupi manakala sekolah–sekolah aliran perdana masih ketinggalan dalam kemudahan asas terutama di kawasan pedalaman,” soalnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button