Nie Ching pertahan pembinaan SJKC Too Joon Hing, dakwa ia keperluan mendesak
Dakwa PH jadi pendukung rancangan kemajuan SJKC, tapi PN pula gagalkannya

BANGI, 27 Rabiulawal 1443H, Rabu – Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berkata, pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Too Joon Hing di Seksyen 5 Bandar Kinrara, Puchong merupakan satu keperluan mendesak.
Beliau berkata, berdasarkan laporan Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (EPRD) pada tahun 2018, tapak asal SJKC Too Joon Hing di Taman Putra Prima, Puchong ketika waktu itu hanya ada 16 peratus penduduk Cina.
“Bagaimanapun, pada tahun yang sama, beberapa pertubuhan dan penduduk di Puchong telah menyuarakan keperluan segera untuk pembinaan SJKC baharu akibat masalah kepadatan pelajar di SJKC Sin Ming, SJKC Han Ming dan SJKC Bukit Serdang.
“Susulan itu, Seksyen 5 Bandar Kinrara telah dipilih sebagai tapak pembinaan SJKC ini,” kata Nie Ching yang juga merupakan bekas Timbalan Menteri Pendidikan.
Beliau berkata demikian bagi membidas dakwaan penduduk sekitar dan pihak lain termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menggesa pembatalan pembinaan SJKC Too Joon Hing ekoran jumlah SJKC yang sudah terlalu banyak di kawasan itu.
Nie Ching seperti dilapor Oriental Daily pada 31 Oktober lalu berkata, Pejabat Pendidikan Selangor telah mengkaji permohonan ini dan turut beranggapan kawasan itu mempunyai keperluan mendesak untuk SJKC.
Selain itu, Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Selangor dan Kuala Lumpur turut menyatakan dalam laporannya mengenai permintaan tinggi penduduk Puchong yang terdiri daripada orang Cina terhadap pembinaan SJKC baharu.
Dakwanya, lima buah SJKC yang sedia ada telah mengalami masalah kepadatan pelajar sehingga berlakunya kekurangan tempat berbanding permintaan.
“Menurut kajian Dong Zong dan Jawatankuasa Kemajuan SJKC Petaling, daerah Puchong memerlukan sekurang-kurangnya 10 buah SJKC untuk menampung keperluan SJKC di kawasan tersebut,” katanya.
Nie Ching turut menyebut peruntukan yang diberikan ketika Pakatan Harapan (PH) memimpin kerajaan yang menyaksikan sebanyak RM20 juta diperuntukkan setiap tahun untuk pembinaan dan penambahan SJKC.
“Peruntukan ini telah digunakan pada tahun 2018 dan 2019 bagi membiayai pembinaan lima buah sekolah untuk SJKC baharu dan SJKC yang dipindahkan.
“PH juga terus mendukung rancangan kemajuan SJKC di Selangor di antaranya ialah SJKC Lee Loy Seng, SJKC Bandar Sunsuria, SJKC Tun Ong Yoke Lin, SJKC Tun Lim Chong Eu di mana semua pembiayaannya ditanggung oleh pemaju,” dakwanya.
Dakwanya lagi, PH tidak menafikan hakikat bahawa kawasan lain di Selangor dan Kuala Lumpur juga memerlukan SJKC.
“Selepas pembinaan beberapa SJKC sudah berjalan dengan lancar, PH juga merancang untuk membina sekolah untuk SJKC baharu dan SJKC dipindahkan di kawasan-kawasan yang mempunyai keperluan mendesak.
“Pada waktu itu, kami telah meninjau beberapa kawasan di antaranya di Kota Kemuning, Bukit Jalil dan Bandar Mahkota Cheras.
“Sebenarnya, semasa PH memerintah, kami telah menerima permohonan dari beberapa SJKC mikro untuk bantuan berpindah,” katanya.
Nie Ching berkata, terdapat tiga pembaharuan dalam dasar pembinaan dan penambahan SJKC iaitu membina SJKC di kawasan yang mempunyai keperluan mendesak; membenarkan pembinaan SJKC di tapak pendidikan sekolah dan tidak perlu meminta dana luar untuk menyiapkan kerja pembinaan SJKC.
“Malangnya, tiga pembaharuan ini telah digagalkan oleh PN (Perikatan Nasional). Disebabkan bantahan daripada kumpulan kecil, KPM telah mengeluarkan arahan berhenti pembinaan.
“Tapi, apakah asas kepada bantahan golongan yang membantah ini?,” soalnya.
Menurutnya, sekolah yang dibina untuk SJKC baharu ialah SJKC Kajang 2 (mula sesi persekolahan pada 2021) dan SJKC Too Joon Hing (sepatutnya mula sesi persekolahan pada 2021).
Manakala sekolah yang dibina untuk SJKC yang dipindahkan ialah Tun Fah Eco Majestic (sepatutnya mula sesi persekolahan pada 2021), SJKC Bukit Fraser di Kuala Langat (akan mula sesi persekolahan pada 2022) dan SJKC Poi Min( akan mula sesi persekolahan pada 2022).