Berita UtamaPendapat

SUHAKAM patut berdiri menentang Islamofobia dan pembersihan etnik

Insiden kebencian sekali lagi kukuhkan persepsi bahawa SUHAKAM selektif, berat sebelah promosikan hak asasi manusia

GABUNGAN Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA) dan Majlis Perundingan Melayu (MPM) ingin menyatakan kekesalan dan kekecewaan kami terhadap laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) mengenai kebebasan bersuara di Malaysia dalam laporan pertengahan penggal SUHAKAM untuk semakan berkala sejagat (UPR) ketiga. 

Dalam laporannya mengenai kebebasan bersuara di Malaysia sejak 2018, SUHAKAM sekali lagi gagal mengiktiraf insiden Islamofobia yang nyata sejak tiga tahun lalu dan sekatan kebebasan bersuara ratusan jika tidak beribu-ribu rakyat Malaysia dalam menentang pembersihan etnik di Palestin. 

Meninggalkan insiden kebencian ini sekali lagi mengukuhkan persepsi orang ramai bahawa SUHAKAM bersikap selektif dan berat sebelah dalam mempromosikan hak asasi manusia. 

Ini bukan dan tidak akan menjadi tanggapan baik untuk pergerakan hak asasi manusia di Malaysia.

Antara insiden Islamofobia yang ketara sejak 2018 adalah seperti berikut:

1. Seorang menteri mengisytiharkan perang kaum apabila dua parti politik Islam (UMNO dan PAS) mengumumkan kesediaan untuk bekerjasama antara satu sama lain. 

Walaupun menteri tersebut telah menarik balik kenyataan itu, insiden ini adalah contoh terbaik ungkapan menakut-nakutkan yang ekstrem (extreme fearmongering) yang menyeru kepada peperangan.

2. Promosi buku komik di sekolah vernakular yang hanya melabel orang Melayu Islam yang membantah penindasan di Uighur sebagai radikal. 

Gambaran buku komik itu bukan sahaja meremehkan pembersihan etnik tetapi jelas rasis dalam mencemuh satu kaum sahaja. Kalau kaum lain membantah tidak pula radikal.

3. Kerajaan tunduk kepada Islamofobia terhadap pengenalan sukatan pelajaran Jawi. 

Jawi adalah abjad semata-mata seperti skrip Roman dan sukatan pelajaran Jawi yang diperkenalkan hanya menyentuh penggunaan sekular harian. 

Ia telah dibantah oleh kumpulan kaum menggunakan ketakutan (fearmongering) yang tidak berasas terhadap Islam dan kerajaan telah tunduk kepada tekanan sedemikian.

Ini adalah beberapa insiden Islamofobia yang terkenal pada masa lalu yang telah dicatatkan dalam Laporan Islamofobia MACSA dan pelbagai kenyataan-kenyataan akhbar. 

Terdapat banyak contoh lain tetapi kegagalan SUHAKAM untuk menyerlahkan insiden kebencian ini bukan sahaja menyebabkan kerajaan tidak akan bertanggungjawab terhadap perkara yang sama, ia menimbulkan dakwaan berat sebelah dan pilih kasih di pihak SUHAKAM dalam melaporkan pencabulan hak asasi manusia.

Apa yang memburukkan lagi perkara di atas adalah kegagalan untuk mengiktiraf sekatan kebebasan bersuara ramai rakyat Malaysia dalam membantah penghapusan etnik di Palestin. 

MACSA menerima ratusan aduan daripada orang ramai terhadap penyedia platform media sosial seperti Facebook, TikTok, Instagram dll yang sewenang-wenangnya menapis dan melarang terbitan kenyataan-kenyataan (posting) di media sosial. 

Terdapat juga banyak laporan media yang mengkritik penapisan ini. 

Penyedia platform media sosial ini perlu diambil tindakan atas penapisan sewenang-wenang dan penyalahgunaan kuasa ini.

SUHAKAM sepatutnya mengetuai reformasi peraturan penapisan media tersebut yang jelas telah menindas dan menyekat kebebasan rakyat Malaysia untuk bersuara menentang ketidakadilan. 

Lagipun, protes rakyat adalah menentang penghapusan etnik yang sepatutnya digalakkan dan dipromosikan dengan jelas oleh SUHAKAM. 

Kegagalan SUHAKAM mengenengahkan perkara ini amat menyerlahkan pendirian SUHAKAM sendiri.

Selain itu, hakikat bahawa SUHAKAM telah memilih untuk mengenegahkan nasib Malaysiakini dalam laporannya dan bukannya penderitaan orang ramai di atas menunjukkan betapa selektifnya dan tersalah anggap (misconceive) penilaian SUHAKAM terhadap pencabulan hak asasi manusia.

MACSA dan MPM menyeru SUHAKAM untuk berdiri mengiktiraf dan menentang Islamofobia dan penghapusan etnik.

Datuk Dr Hassan Mad
Setiausaha Agung
Majlis Perundingan Melayu (MPM) 

Lukman Sheriff Alias
Assc Prof Dr Rafidah Hanim Mokhtar,
Pengerusi Bersama Malaysian Alliance of Civil Society Organisations in the Universal Periodic Review (UPR) Process (MACSA)

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button