Abdul Hadi pertahan jawatan Presiden PAS
4 calon bersaing isi tiga jawatan Naib Presiden

BANGI, 28 Rabiulawal 1443H, Khamis – Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertahankan jawatan sebagai Presiden PAS selepas menang tanpa bertanding dalam pemilihan Muktamar PAS ke-67.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut mempertahankan jawatan beliau menerusi pemilihan sesi 2021-2023.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, empat calon pula akan bersaing untuk mengisi tiga jawatan Naib Presiden.
Tiga daripada mereka adalah penyandang sebelum ini iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad; Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
“Seorang calon baharu adalah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sebelum ini, Dr Mohd Zuhdi Marzuki.
“Calon kelima, iaitu Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Menteri Besar Kedah, menarik diri daripada bertanding jawatan itu.
“Selain itu, seramai 36 calon akan merebut 18 jawatan Ahli Jawatankuasa Pusat,” katanya seperti dilapor Berita Harian, hari ini.
Takiyuddin memaklumkan, Hussin Ismail dan Kamal Ashaari juga menang tanpa bertanding bagi mempertahankan jawatan masing-masing sebagai Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap.
Katanya, muktamar kali ini tidak menjemput rakan parti politik lain sama ada yang ada hubungan dengan PAS atau sebaliknya dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Kita hanya menjemput jemputan tertentu seperti veteran PAS dan orang tertentu, dengan ucapan dasar akan disampaikan Presiden PAS pada majlis perasmian,” katanya.