Berita Utama

Bapa ditahan kelar leher anak sampai mati: Polis

Kejadian berlaku selepas bertengkar akibat menukar siaran televisyen

KUALA LUMPUR, 28 Rabiulawal 1443H, Khamis – Seorang bapa sanggup mengelar leher anak lelakinya sehingga mati di kediaman mereka di Jalan Kemudi, Bernam Jaya, Hulu Bernam, dekat sini, semalam selepas bertengkar akibat menukar siaran televisyen.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Arsad Kamaruddin berkata lelaki berusia 71 tahun itu, mengelar leher anaknya yang berumur 37 tahun sebanyak tiga kali menggunakan pisau yang diambil di dapur, selepas menolak mangsa sehingga jatuh semasa pertengkaran itu.

Katanya selepas kejadian tersebut suspek membuat laporan polis pada 12.55 tengah hari itu, mendakwa anaknya ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri serta berlumuran darah akibat luka di leher di ruang tamu rumah mereka, selepas pulang dari kedai.

Beliau berkata siasatan polis mendapati terdapat kesan kelar yang dalam pada leher mangsa yang dilakukan pihak ketiga dan bukannya bunuh diri.

“Suspek kemudian mengaku telah mengelar mangsa serta ditahan untuk siasatan, selain polis turut merampas sebilah pisau, sehelai baju dan seluar yang dipakai suspek.

“Sewaktu kejadian itu berlaku, hanya suspek dan mangsa berada di dalam rumah, manakala ujian saringan air kencing terhadap suspek adalah negatif malah suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Arsad berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan suspek direman sehingga Rabu depan untuk siasatan lanjut. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button