Berita Utama

Dong Jiao Zong minta kerajaan institusikan vernakular seperti SK

Gesa kerajaan tanggung semua kos babit pembinaan dan tanah

BANGI, 28 Rabiulawal 1443H, Khamis – Tindakan Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan kerja-kerja pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Too Joon Hing dihentikan tanpa sebarang alasan mengundang rasa bimbang dan pertikaian dalam masyarakat Cina.

Dong Zong dan Jiao Zong turut tidak ketinggalan meluahkan rasa kecewa serta mendakwa kejadian ini berpunca daripada sikap kerajaan yang masih belum menginstitusikan peruntukkan bagi pembinaan sekolah vernakular mengikut keperluan penduduk sesebuah kawasan, terutamanya penambahan dan pembinaan SJKC yang menghadapi banyak halangan.

Berikutan itu, Dong Jiao Zong meminta semua pihak memahami punca masalah dan menyelesaikan dari puncanya untuk mengelak berlaku pertikaian dalaman yang tidak sepatutnya, sehingga mengaburi hakikat sebenar masalah serta menjejaskan usaha memperjuangkan hak dan kepentingan pendidikan Cina.

Menerusi kenyataan bersama, pertubuhan itu berkata, sudah beberapa dekad Dong Jiao Zong tanpa henti memperjuangkan pembinaan dan penambahan bilangan SJKC untuk memenuhi keperluan sebenar penduduk sesebuah kawasan terhadap SJKC.

Di antaranya pada 14 November 2011 dan pada 23 Ogos 2012 bersama dengan pertubuhan-pertubuhan lain, Dong Jiao Zong telah menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri ketika itu, menggesa kerajaan merangka dan melaksanakan penginstitusian pembinaan sekolah vernakular.

Salinan memorandum turut diserahkan kepada parti-parti pembangkang.

Memorandum tersebut menyebut dengan spesifik kawasan-kawasan di mana 45 buah SJKC perlu dibina antaranya Puchong yang memerlukan empat buah SJKC iaitu di Bandar Kinrara 1, Taman Tasik Prima 1 dan kawasan lain di Puchong 2.

Dengan kata lain, sama ada sebuah SJKC dibina di Taman Putra Prima atau di Seksyen 5 Bandar Kinrara, ianya masih belum mencukupi untuk menampung keperluan sebenar penduduk setempat kerana kerajaan perlu membina sekurang-kurangnya empat buah SJKC di kawasan tersebut bagi memenuhi permintaan penduduk.

Oleh itu, menurut Dong Jiao Zong, dalam usaha membina dan menambah bilangan SJKC, pendirian serta prinsip Dong Jiao Zong ialah kerajaan mesti menginstitusikan pembinaan SJKC dan membina bilangan SJKC yang secukupnya mengikut keperluan struktur penduduk dan keperluan sebenar sesebuah kawasan.

“Kami bertegas bahawa kerajaan mesti menginstitusikan sekolah vernakular sama seperti SK dan SJKC adalah salah satu daripadanya, selain itu kerajaan mesti menanggung semua kos yang melibatkan pembinaan dan tanah,” katanya seperti dilapor Oriental Daily pada 1 November lepas.

Dong Jiao Zong mendakwa, pembinaan SJKC Too Joon Hing telah lama dinantikan oleh masyarakat Cina namun tiba-tiba dihentikan tanpa alasan yang munasabah.

Oriental Daily melaporkan: “Kerajaan telah mengumumkan pembinaannya semenjak tahun 2017 lagi. Arahan penukaran tapak sekolah dan arahan memberhentikan pembinaan semuanya datang dari KPM. Arahan-arahan yang bercanggah seperti ini, bukan sahaja sukar untuk difahami bahkan mendedahkan kecuaian dalam proses membuat keputusan dan menyebabkan ramai berasa curiga.”

Dong Jiao Zong berkata, perkembangan pendidikan Cina di Malaysia sentiasa menghadapi cabaran yang besar, justeru jika masyarakat Cina tidak bersatu, dikhuatiri ianya akan lenyap satu hari nanti.

Oleh itu, peranan yang dimainkan oleh pertubuhan Cina dan aktivitis pendidikan Cina bukan sahaja amat penting bahkan telah memberi sumbangan yang besar dan ianya wajar diberikan pengiktirafan oleh semua pihak.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button