Berita Utama

Pembatalan Proklamasi Darurat Sarawak selaras Perlembagaan Persekutuan

Proklamasi Darurat diisytiharkan berikutan wabak COVID-19

KUCHING, 28 Rabiulawal 1443H, Khamis – Pembatalan Proklamasi Darurat untuk Sarawak yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam adalah selaras dengan Fasal (1) dan (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, menurut Warta Kerajaan Persekutuan.

Warta bertarikh 3 November itu menyebut Seri Paduka bertitah bahawa keperluan Proklamasi Darurat (Sarawak) 2021 yang diisytiharkan pada 29 Julai lepas telah berakhir dan suatu tindakan untuk membatalkan proklamasi itu adalah dikehendaki.

Proklamasi Darurat (Sarawak) 2021 yang berkuat kuasa 2 Ogos sehingga 2 Februari 2022 diisytiharkan berikutan jangkitan wabak COVID-19 yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam dan untuk menghalang daripada terus merebaknya penyakit itu jika pilihan raya negeri diadakan.

Seri Paduka bertitah pembatalan proklamasi itu dibuat setelah berunding dengan Yang Dipertua Negeri Sarawak menurut subseksyen 2(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button