
BANGI, 28 Rabiulawal 1443H, Khamis – Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan calon yang bertanding bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka secara maya Sabtu ini.
Mengesahkan perkara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pengumuman calon akan dibuat menerusi Facebook UMNO Online.
“Pengumuman nama calon #BN live di FB #UMNO Online.
“Sabtu 6 Nov 2021, jam 10 pagi. Terima kasih memberi sokongan dan mengikuti,” katanya menerusi catatan di Facebook, hari ini.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal pada 16 November.
PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.