Berita Utama

PAS sahkan tanding 11 kerusi DUN di PRN Sarawak

Bukan nak ganggu GPS tapi mahu hidupkan amalan demokrasi

 

KUCHING, 29 Rabiulawal 1443H, Jumaat – PAS Sarawak mengesahkan akan menghantar calon di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri ke 12 (PRN12) Sarawak, pertengahan Disember depan.

Penolong Setiausaha PAS Sarawak, Syamsul Bahrie Mohamad mengakui akan berlaku pertembungan dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Antara Kawasan yang terlibat adalah DUN Kemena, Beting Maro, Semariang, Pantai Damai, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, Jepak, Lambir, Pujut dan Samalaju.

“Sembilan dari 11 DUN itu merupakan kawasan baharu yang akan ditandingi,” katanya sambil memaklumkan calon yang akan bertanding belum dimuktamadkan.

Beliau bagaimanapun mengesahkan senarai calon akan diumumkan selepas pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung tarikh-tarikh penting PRN Sarawak.

“Kita mempunyai ramai calon yang beribawa, berkaliber dan berkerjaya yang boleh kita ketengahkan di 11 kerusi yang kita tandingi.

“Kita melihat kebarangkalian untuk menukar calon di kawasan bergantung kepada UNDI18 apabila kita lihat kawasan bertanding itu kebanyakkan remaja kita akan meletakkan golongan muda, itu strategi kami,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan tujuan utama PAS bertanding dalam PRN12 bukanlah untuk mengganggu Gabungan Parti Sarawak (GPS), namun mahu menghidupkan amalan demokrasi.

“Kalau dikatakan PAS Sarawak mengganggu GPS , kenyataan-kenyataan YB GPS pun adalah menyatakan PAS adalah bukan komponen.

“Kita menghulurkan demokrasi untuk kita bertanding secara sihat dalam masa yang sama untuk memberi kelebihan kepada rakyat Negeri Sarawak untuk memilih wakil rakyat mereka ataupun memilih kerajaan kita dengan lebih efisen,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button