Berita Utama

MCA bersikap kuno bantah larangan jual arak

Individu celupar, tak hormat undang-undang perlu dikenakan tindakan

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 1 Rabiulakhir 1443H, Sabtu – Individu atau pihak yang membantah larangan penjualan minuman keras di kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat Cina boleh dianggap pentingkan diri sendiri.

Lebih teruk, mereka ini seolah-olah memiliki pemikiran yang terlalu kuno walaupun berada zaman moden, kata Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah.

“Saya fikir mereka ini seperti menghina diri sendiri, agama sendiri.

“Kerana hakikatnya tiada agama yang galak penganutnya buat perkara yang boleh merosakkan diri sehingga membahayakan nyawa orang awam yang tidak berdosa.

“Tapi pelik bila ada yang kata larangan ini tidak wajar dan sebagai tidak moden sedangkan dia sendiri yang tidak bertamadun,” katanya dalam siaran Buletin TV pertiwi, semalam.

Terdahulu, parti berasaskan kaum MCA menyatakan rasa tidak puas hati terhadap pengumuman DBKL yang meneruskan larangan penjualan minuman keras di kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat Cina berkuat kuasa, 1 November.

Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MCA Wilayah Persekutuan, Datuk Nicole Wong Siaw Ting berkata, larangan itu disifatkan sebagai satu tindakan terkebelakang di era moden ini.

Katanya, keputusan DBKL telah menjejaskan matlamat ‘Keluarga Malaysia’ oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang berpaksikan kebersamaan.

Mengulas lanjut, Prof Ridhuan berkata, DBKL kini bertindak di landasan yang sesuai kerana bertepatan dengan syarat sebuah negara Islam.

“Yang tak moden bukan DBKL, tapi yang memberi pandangan itu sebenarnya tidak pamerkan fikiran yang bertamadun dan berfikiran kebelakang,” katanya.

Justeru, Ridhuan Tee berharap individu yang tidak menghormati undang-undang perlu dikenakan tindakan supaya tidak membebankan individu lain.

“Saya harap mereka yang celupar dan tak hormat undang-undang ini dikenakan tindakan.

“Jangan biarkan mereka yang nak galakkan keganasan dan ganggu kententeraman awam dibiarkan bebas sehingga timbulkan masalah kepada negara” katanya.

Pautan:
https://www.facebook.com/2049757038611479/posts/2959082337678940/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button