Berita UtamaIstimewa

Betapa rugi penemuan Tapak Arkeologi Sungai Batu tak diuar seluruh dunia

Syor segera tubuh jawatankuasa khas naikkan tapak bersejarah

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 1 Rabiulakhir 1443H, Sabtu – Alangkah rugi penemuan Tapak Arkeologi Sungai Batu di Merbok, Sungai Petani yang diiktiraf sebagai tapak Tamadun Tertua di Asia Tenggara tidak diuar-uarkan pada seluruh dunia.

Penemuan itu bukanlah sesuatu perkara kecil, bahkan cukup besar dari pelbagai sudut termasuk agama Islam kerana besi adalah satu unsur yang disebutkan dalam al-Quran.

Aktivis sejarah, Nur Dini Mohd Noh berkata, rakyat perlu dihebohkan mengenai penemuan ini kerana perlu mengetahui bahawa kita pernah menguasai dunia dengan ‘sesuatu’ yang berguna untuk manusia.

“Kalau dulu kita boleh tawan dunia, sekarang ini pun kita boleh.

“Pada saya memang kerajaan perlu uar-uarkan bukan sahaja kepada Melayu dan seluruh Malaysia tetapi semua Melayu di Nusantara,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Dalam perkembangan lain, penulis buku Perjuangan Sungai Batu itu berpandangan, mustahil bagi badan berkepentingan dengan entiti berbeza bergerak sekali dalam membangunkan Tapak Arkeologi Sungai Batu.

Justeru, bagi membangunkan tapak bersejarah itu dalam kadar segera, beliau mengesyorkan jawatankuasa khas diwujudkan bagi menaikkan Sungai Batu ini.

“Salah satunya untuk mewujudkan jawatankuasa yang meletakkan Sungai Batu ini khas dan diberi publisiti atau promosi dan dibangunkan dari segi perlancongan dan pendidikan secara ‘solid’ serta tiada percanggahan arahan atau kuasa seperti sekarang,” katanya.

Selain itu, Nur Dini mengakui turut tertanya-tanya mengenai peruntukan RM50 juta untuk penyelenggaran infrastruktur pelancongan di Lembah Bujang dan pembaikan Bangunan Sultan Abdul Samad pada Bajet 2022 yang diumumkan Menteri Kewangan, baru-baru ini.

“Peruntukan RM50 juta ini pun kita tidak tahu pecahannya. Kalaulah kata RM25 juta (untuk Lembah Bujang) itu kira banyaklah. (Kerajaan) kena ada perancangan yang elok, tunjuk apa mahu dibuat,” katanya.

Bagi beliau, peruntukan sebanyak RM25 juta dianggap sudah memadai sebagai permulaan pembangunan dan penambahan infrastruktur dari segi perlancongan.

“Tetapi yang perlu diingat, peruntukan ini untuk pelancongan. Pelancongan lain, pendidikan lain. Dari segi pendidikan, kita masih tak tahu bagaimana,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button