Berita Utama

PAS jangan dikurung dalam sebarang muafakat tertutup

Apa faedah jika dapat sokongan majoriti besar tapi tak berintegriti

KUALA TERENGGANU, 1 Rabiulakhir 1443H, Sabtu – PAS tidak seharusnya dikurung dalam sebarang permuafakatan yang tertutup dan sekadar menjadi penumpang dalam perjalanan politik tanah air, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, sebaliknya parti itu perlu mempunyai hala tuju dengan menjadi pemimpin bersama pihak lain sehingga berjaya menarik sokongan rakyat.

“Untuk mendapat jaminan paling kuat bagi menegakkan konsep kepimpinan Islam yang berprinsip, maka PAS wajib berusaha sekurang-kurangnya menjadi penentu dalam keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berasaskan jumlah kerusi yang menang, bukannya banyak jumlah kerusi yang bertanding tanpa kerusi yang dimenangi,” katanya dalam ucapan dasar Muktamar Tahunan PAS Ke-67 di sini hari ini.

Muktamar PAS bertemakan Islam Menyatukan Ummah berlangsung dua hari bermula hari ini yang diadakan secara hibrid dengan 694 daripada 1,546 perwakilan hadir secara fizikal manakala selebihnya secara maya.

Perwakilan negeri berada di negeri masing-masing kecuali perwakilan dari Terengganu, Kelantan dan Pahang serta kesemua 197 Yang Dipertua PAS kawasan yang hadir secara fizikal.

Abdul Hadi berkata, kemunculan Muafakat Nasional (MN) pada mulanya hanya dianggotai oleh PAS dan UMNO sebelum bersetuju menjemput Bersatu dan seterusnya dilangsungkan kepada pembentukan gabungan yang lebih majmuk iaitu Perikatan Nasional (PN) bersama parti-parti yang mewakili pelbagai agama dan kaum yang berjaya mengambil alih kerajaan.

Beliau berkata, gabungan itu menerima asas Perlembagaan Persekutuan dan terbuka penyertaannya kepada semua parti yang tidak menyeleweng daripada Perlembagaan dan itulah acuan perpaduan nasional yang ingin diperkenalkan kepada semua.

“Oleh itu, kita menolak sebarang usaha untuk membentuk penjajaran baharu dengan pelbagai jenama atau perubahan yang dicadangkan. Secara tegas, dinyatakan bahawa kita baru sahaja menubuhkan MN mengikut acuan asal yang lengkap sebagai pendahuluan mengikut Piagam yang terbuka bukan tertutup.

“Kita berjaya menubuhkan PN yang lebih terbuka dan kuat, sehingga berjaya mengambil alih Kerajaan Persekutuan, laksana menanam benih yang baru tumbuh dengan subur.

“Maka, sebarang cadangan lain laksana tumbuhan liar yang mesti dihapuskan atau makhluk perosak yang wajib dimusnahkan,” katanya.

Beliau berkata, PAS perlu konsisten dengan menampilkan pendekatan politik yang jujur dan bersih untuk memulihkan negara.

“Apakah faedahnya jika sekadar mendapat jumlah sokongan majoriti yang besar tetapi tidak berintegriti, sekiranya pada awal lagi sudah mula berbohong kepada rakyat untuk mendapatkan sokongan majoriti.

“Berbohong itu sahaja sudah cukup untuk menjadi tanda hilangnya integriti, yang pasti mengundang semua perangai buruk yang lain, termasuk menjadi kleptokrat,” katanya.

Sementara itu,  Abdul Hadi berkata, Muktamar PAS kali ini adalah muktamar terpenting dan mungkin yang terakhir sebelum menghadapi PRU15 serta menjadi hala tuju untuk terus memimpin dengan mengekalkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang dimenangi PAS serta menambah bilangan kerusi dan pengaruh di negeri-negeri lain.

Mengenai calon pilihan raya, beliau berkata, PAS akan menyediakan calon berwibawa yang mempunyai ciri-ciri beristiqamah dengan parti, berintegriti, berakhlak mulia, mempunyai aqidah yang kuat dan bertahan dengan parti.

“Kalangan yang berwibawa dalam PAS tidak akan tercicir kerana konsep Kerajaan Teknokrat yang kita telah perkenalkan tetap memberi tempat masing-masing, tidak semestinya menjadi calon dan wakil rakyat sahaja. Manakala mereka yang menjadi calon pula sedia berkorban menghadapi segala kemungkinan apabila ditugaskan,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button