Berita Utama

PAS Melaka kecewa BN gerak solo, dakwa beri kelebihan pada PH

Keputusan BN kurang bijak, tak untungkan orang Melayu dan Islam

MELAKA, 1 Rabiulakhir 1443H, Sabtu – PAS Melaka kecewa dengan keputusan Barisan Nasional (BN) termasuk UMNO untuk bergerak secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti.

Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Kamarudin Sidek menyifatkan keputusan itu sebagai kurang bijak kerana ia tidak akan membantu ke arah usaha memperjuangkan Islam dan Melayu.

“Kami kecewa dengan keputusan itu kerana kami mahu UMNO bersama kami dalam menolak genggaman politik Pakatan Harapan (PH).

“Walaupun sudah dimaklumkan perkara itu, mereka tetap membuat keputusan sedemikian.

“Insya-Allah, kita akan terus bergerak bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Gerakan dalam Perikatan Nasional (PN) untuk menghalang PH kembali berkuasa di Melaka,” katanya ketika seperti dilapor NST, hari ini.

BN meletakkan 28 calon termasuk 24 muka baharu bagi PRN di Melaka yang mempunyai 28 DUN.

Kamarudin berkata, pertembungan tiga penjuru termasuk parti yang sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan tidak dapat dielakkan, berikutan keputusan yang dibuat oleh BN.  

Perkara Ini, katanya, juga akan memberi kelebihan kepada PH pada PRN di Melaka.

“Kita mahu mengelak pertembungan tiga penjuru pada pilihan raya negeri kerana ia tidak akan menguntungkan orang Melayu dan Islam. Namun hasrat seperti itu tidak dapat dicapai pada pilihan raya negeri ini,” katanya.

Mengulas mengenai jumlah kerusi yang akan ditandingi PAS, Kamarudin berkata, parti itu akan meletakkan calonnya untuk bertanding di sembilan daripada 28 kerusi DUN.  

Beliau berkata, ia adalah hasil daripada rundingan sesama parti dalam PN.

Bagaimanapun katanya, ia bergantung kepada pengumuman yang akan dibuat oleh PN hari ini.

Difahamkan PN akan mengumumkan calon-calonnya yang bertanding pada PRN Melaka pada satu majlis yang akan diadakan di Shah Alam, Selangor, hari ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button