Zionis tebang 45 pokok zaitun petani Palestin tanpa sebab
Musnahkan telaga yang jadi sumber air kepada petani

RAMALLAH, 2 Rabiulakhir 1443H, Ahad – Tentera negara haram Israel terus bertindak ganas dan mengganggu kehidupan petani Palestin dengan menebang kira-kira 45 batang pokok zaitun yang matang serta sedia dipetik tanpa sebab di Nablus, utara Tebing Barat, semalam.
Ghasaan Daghlas, pegawai Palestin yang memantau aktiviti Zionis di Tebing Barat berkata, kumpulan tentera semakin melampau sejak akhir-akhir ini apabila bertindak menyerang kebun zaitun milik petani di Yitzhar sesuka hati.
Tindakan berkenaan menjadi aktiviti wajib bagi mereka yang sering mengganggu kehidupan petani Palestin tanpa sebab.
Bukan sahaja bertindak menebang pokok yang matang malah mereka turut menggeladah kediaman-kediaman petani yang tinggal berhampiran kawasan berkenaan.
Dalam kejadiaan terbaharu, Ghassan berkata, pasukan tentera telah memusnahkan telaga yang menjadi sumber air utama kepada petani-petani di Be’er an-Nabe’ as Sofly di Kampung Madama, selatan Nablus.
Tindakan kejam itu dilakukan bagi menghalang petani daripada menggunakan bekalan air sebaliknya menyalurkan sumber tersebut ke tanah jajahan haram yang didiami penduduk Israel. – Agensi