Berita UtamaDunia

Israel bantah AS buka konsulat untuk Palestin di Baitulmaqdis

Biden mahu teruskan usaha perkukuh hubungan dengan Palestin

BAITULMAQDIS, 2 Rabiulakhir 1443H, Ahad – Rejim pengganas Israel secara terbuka menyatakan bantahan terhadap rancangan Amerika Syarikat (AS) untuk membuka semula konsulat bagi rakyat Palestin di Baitulmaqdis yang diduduki.

Negara haram itu malah mencadangkan AS untuk menjadikan Ramallah, Tebing Barat sebagai tempat untuk membuka konsulat mereka.

“Tiada tempat untuk konsulat Amerika yang berkhidmat untuk Palestin di Baitulmaqdis (al-Quds).

“Ini telah disampaikan kepada Washington sendiri dan oleh Menteri Luar, Yair Lapid,” kata Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett, semalam.

Sebelum ini, pentadbiran bekas Presiden AS, Donald Trump memberi sokongan terhadap tuntutan Israel ke atas Baitulmaqdis sebagai ‘ibu kota’ negara haram itu dengan memindahkan kedutaan AS ke sana dari Tel Aviv.

Ia juga menutup konsulat AS – yang pernah berkhidmat sebagai kedutaan de facto untuk Palestin di Baitulmaqdis, mengatakan ia tidak lagi diperlukan kerana kedutaan baharu telah mengambil alih fungsinya.

Sementara itu, Presiden AS, Joe Biden berjanji untuk memulihkan hubungan dengan Palestin dan membuka semula konsulat di Baitulmaqdis.

Bulan lalu, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken mengulangi hasrat pentadbiran Biden untuk meneruskan rancangan itu.

“Seperti yang saya katakan pada Mei, kami akan bergerak ke hadapan dengan proses membuka konsulat sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan dengan Palestin,” katanya semasa sidang media bersama Lapid di Washington.

Pada hari Sabtu, Bennett dan Lapid menyatakan penentangan mereka terhadap pembukaan semula konsulat AS untuk Palestin di Baitulmaqdis.

“Kami menyatakan pendirian kami secara konsisten, senyap dan tanpa drama, dan saya harap ia difahami,” kata Bennett, bercakap kepada media selepas kelulusan Bajet Israel untuk 2021-2022.

Lapid juga mengulangi pendirian Bennett, dengan mengatakan bahawa ‘jika Amerika mahu membuka konsulat di Ramallah kami tidak mempunyai masalah dengan itu.’

Sebagai respon, jurucakap Presiden Pihak Berkuasa Palestin (PA), Mahmoud Abbas membantah kenyataan Lapid.

“Kami hanya akan menerima konsulat AS di Baitulmaqdis (al-Quds), ibu negara Palestin. Itulah yang diumumkan oleh pentadbiran AS dan telah komited untuk melakukannya,” kata Nabil Abu Rudeineh kepada Reuters.

Kementerian Luar PA juga berkata, pendirian Israel adalah ‘ujian kritikal’ untuk pentadbiran Biden.

Kenyataan itu menjadi kebimbangan mereka khusus kerana ia timbul berikutan kelulusan bajet Israel, ‘bermakna bahawa kredibiliti kedudukan pentadbiran AS dan masyarakat antarabangsa sedang diuji,’ kata Kementerian Luar dalam satu kenyataan yang diterbitkan pada Ahad.

“Sudah tiba masanya bagi masyarakat antarabangsa untuk memimpin dalam menghormati kewajipannya dan memikul tanggungjawab undang-undang dan moralnya terhadap pendudukan dan penempatan (Israel), dan untuk menghentikan kepercayaannya yang menyedihkan kepada kerajaan Israel,” kata kementerian itu, menurut kenyataan itu seperti dilapor media Palestin.

Beliau juga berkata bahawa kenyataan Bennet secara rasmi mengesahkan bahawa Israel adalah kerajaan penjajah dan penceroboh yang cuba memelihara dirinya dengan mengorbankan hak Palestin. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button