Berita UtamaDunia

Lebih 100 orang terkorban lori bahan api meletup di Sierra Leone

Majoriti mangsa terperangkap cuba curi bahan api bocor dari lori

 

FREETOWN, 2 Rabiulakhir 1443H, Ahad – Insiden letupan lori tangki bahan api di pusat bandar Sierra Leone yang mengorbankan ratusan mangsa tular dengan gambar mayat rentung bergelimpangan di tepi jalan.

Menurut saksi, letupan itu berlaku apabila lori berkenaan bertembung dengan sebuah trak di stesen minyak, pada malam Jumaat lalu.

Api kemudian merebak, membakar mangsa di dalam kereta dan di jalan raya berhampiran.

Pekerja sukarelawan, Jusu Jacka Yorma yang berada di tempat kejadian berkata, majoriti mangsa adalah peniaga jalanan dan penunggang motosikal yang terperangkap ketika cuba mengambil bahan api yang bocor dari lori tangki, sebelum api marak menyala.

Sementara itu, Naib Presiden Sierra Leone, Mohamed Juldeh Jalloh yang melawat lokasi kejadian berkata, angka kematian melebihi 100 orang manakala ratusan yang lain mengalami kecederaan dan sedang dirawat di hospital.

Beliau turut memaklumkan kesemua yang cedera dalam insiden berkenaan akan menerima rawatan percuma.

Hospital di negara itu kini dibanjiri dengan ratusan mangsa yang mengalami kecederaan serius akibat terkena api di lokasi kejadian.

Malah, ratusan orang ramai berkumpul di lokasi kejadian mencari waris yang hilang di bawah pengawasan pasukan keselamatan, kata seorang wartawan AFP.

Operasi menyelamat diteruskan sejak semalam di bawah pengawasan ketat pasukan polis.

Media sosial Twitter dibanjiri dengan gambar-gambar mangsa, kenderaan yang hangus dijilat api serta ucapan takziah yang dirakamkan buat penduduk di Sierra Leone. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button