Berita Utama

Norhizam tanding Bebas, yakin menang 80 peratus undi Pengkalan Batu

Yakin tidak tergugat, punyai KPI turun padang selama 3 tahun

MELAKA, 2 Rabiulakhir 1443H, Ahad – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, Datuk Norhizam Hassan Baktee akan bertanding sebagai calon Bebas untuk mempertahankan kerusinya di Pengkalan Batu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November akan datang.

Dalam satu pengumuman hari ini, Norhizam berkata, beliau yakin mampu memenangi semula kerusi itu walaupun bertanding sebagai calon Bebas kali ini.

Beliau dijangka akan berdepan saingan sengit UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), DAP dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

Norhizam adalah salah seorang daripada ‘Empat ADUN Melaka’ yang menarik balik sokongan mereka kepada pentadbiran negeri ketika itu, sekali gus menyebabkan PRN ini.

“Jika kita melaksanakan tugas kepada rakyat, insya-Allah kita akan menang dan naluri saya memberitahu saya boleh menang sehingga 80 peratus daripada jumlah undi.

“Ini bukan cakap kosong. Saya mempunyai KPI (indeks prestasi utama) selama tiga tahun di mana saya sentiasa turun padang,” katanya pada sidang media di Taman Lagenda, Pengkalan Batu, di sini.

Menurut Norhizam, beliau telah menerima tawaran daripada sekurang-kurangnya empat parti politik untuk bertanding di bawah lambang mereka tetapi memutuskan untuk memasuki medan perang sendirian.

Baru-baru ini, Perikatan Nasional (PN) berkata, ia akan meletakkan Mohd Azrudin Md Idris dari Bersatu untuk kerusi Pengkalan Batu manakala Barisan Nasional (BN) akan meletakkan Datuk Kalsom Nordin daripada UMNO dan Pakatan Harapan (PH) akan meletakkan Muhammad Danish Zainudin daripada DAP.

Mengulas mengenai calon lain, Norhizam menyatakan keyakinan bahawa tiada seorang pun daripada mereka yang membuatnya tergugat.

“Danish bukan budak tempatan. Dia macam payung terjun dan saya pun tak kenal dia. 

“Gerak kerja Kalsom pula sebaliknya tidak sama taraf dengan saya kerana untuk menjadi calon, seseorang itu mesti telah melakukan gerak kerja sekurang-kurangnya dua tahun lebih awal,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button